Berita Hari Ini

Imigresen Semak SOP Elak Gejala Rasuah

PUTRAJAYA: Kegagalan pelawat asing mengemukakan dokumen sokongan seperti bukti tempat penginapan dan tiket penerbangan pulang membuka ruang penawaran rasuah kepada pegawai imigresen di pintu masuk negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata ketiadaan dokumen sokongan itu telah mewujudkan peluang dan cubaan menyogok pegawai imigresen dengan kadar RM200 hingga RM1,500.

Justeru, katanya, pihak jabatan akan mengkaji semula dan menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada di pintu masuk negara bagi menutup ruang dan peluang berlakunya amalan rasuah.

“Bagaimanapun, majoriti 14,420 pegawai imigresen masih mempunyai integriti dan hanya sebilangan kecil yang terbabit dengan amalan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 500 wakil industri dan majikan, di sini pada Isnin.

Beliau mengulas laporan mengenai sekumpulan pegawai imigresen yang dikatakan menerima upah sehingga RM2,500 bagi memudahkan laluan keluar masuk warga asing.

Hasil kegiatan sejak 2014 itu, kumpulan pegawai penguat kuasa berkenaan dikatakan telah mengumpul pendapatan sampingan kira-kira RM18 juta.

Mengenai pelaksanaan tindakan menyita dan membeku aset majikan industri yang didapati melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) mulai 1 Okt lepas, Mustafar berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Jumlah majikan yang dikenakan tindakan akan diumumkan penghujung bulan ini,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");