Berita Hari Ini

Lebih banyak sekolah Tamil dibina dalam masa terdekat

GEORGETOWN – Kerajaan komited untuk membina lebih banyak sekolah Tamil di Malaysia dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan juga akan meningkatkan lagi pedagogi, ko-kurikulum serta pendidikan bahasa Tamil di Malaysia.

Kamalanathan berkata, selain pembinaan sekolah, kerajaan akan sentiasa memberi tumpuan terhadap aspek pembangunan sekolah Tamil termasuk dari segi kemudahan infrastruktur sekolah berkenaan.

“Kerajaan akan memberi keutamaan kepada bahasa ibunda khususnya kepada pembangunan sekolah Tamil. Sehingga hari ini sebanyak RM740 juta telah pun digunakan untuk menambah baik kemudahan di sekolah Tamil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan peserta ‘Fun Walk’ di Penang Free School hari ini, bersempena sambutan 200 tahun Bahasa Tamil di Malaysia sejak dimulakan di sekolah itu pada tahun 1816.

Pada program itu, seramai 500 peserta termasuk guru dan murid seluruh Pulau Pinang menyertai larian tersebut yang dianjurkan Pemuda MIC Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Pulau Pinang.

Kamalanathan berkata pihaknya turut membuat cadangan mengenai pembangunan sekolah Tamil dalam Bajet 2017 yang akan dibentangkan nanti.

“Kita memang mencadangkan kepada Perdana Menteri. Sebenarnya YB (Datuk Dr S) Subramaniam (Menteri Kesihatan) akan membentangkan keperluan komuniti kaum India dan ia juga melibatkan peruntukan untuk pembangunan sekolah Tamil di negara ini.

“Seperti di tahun-tahun sebelum ini, Perdana Menteri amat prihatin tentang keperluan pembangunan dan pendidikan bahasa Tamil dan pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil,” katanya.

Beliau berkata, antara perancangan segera daripada pembangunan sekolah Tamil dalam Bajet 2017 ialah menempatkan semula sekolah yang kurang murid ke lokasi yang lebih ramai penduduk iaitu di kawasan perumahan.

“Kita harap pada bajet akan datang, kita akan dapat melakukan penempatan semula sekolah bagi yang kurang murid. Bagi merealisasikan hasrat itu kita perlu mencari tanah yang sesuai yang boleh manarik lebih ramai untuk bersekolah di sini,” katanya.

Justeru beliau meminta kerajaan negeri memberi kerjasama menyediakan tanah di lokasi yang lebih sesuai bagi penempatan semula sekolah terbabit.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");