Jenayah

Maut ketika memandu

KEMAMAN: Seorang pembantu rendah am Pejabat Pertanian Daerah Kemaman maut ketika sedang memandu selepas terkena serangan jantung dalam kejadian di Kilometer 131 Jalan Lama Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Titian Berayung, Kijal, di sini, kira-kira jam 9.10 malam kelmarin.

Akibat serangan jantung itu, kereta Proton Wira yang dipandu Che Wan Junaidi Che Wan Ab Ghani, 40, secara bersendirian terbabas ke dalam semak di tepi jalan sebelum orang ramai yang nampak kejadian itu meluru ke arah kenderaan mangsa untuk memberi bantuan.

Bagaimanapun, ketika didekati mangsa didapati sudah tidak bernyawa dan mangsa disangkakan meninggal dunia disebabkan kemalangan tetapi hasil keputusan bedah siasat mengesahkan mangsa yang juga anak sulung daripada sembilan beradik maut akibat serangan jantung.

Bapa mangsa, Che Wan Ab Ghani Che Wan Mohamad, 70, berkata, anaknya yang masih bujang itu keluar dari rumah mereka di Kampung Titian Berayung kira-kira jam 9 malam untuk berurut di rumah tukang urut yang terletak tidak jauh dari rumah kerana masalah angin dalam badan.

“Namun, lepas 10 minit dia keluar rumah tiba-tiba ada orang hubungi saya dan dia beritahu anak saya kemalangan. Jarak lokasi kemalangan dengan rumah kami tak sampai satu kilometer pun.

“Arwah sebenarnya baharu sahaja keluar wad Hospital Kemaman sekitar jam 12 tengah hari tadi (sembilan jam sebelum kejadian). Lima hari dia ditahan di wad sebab masalah jantung dan paru-paru berair,” katanya.

Katanya, sejurus keluar wad anaknya itu juga memberitahu mahu membuat tuntutan insurans kerana Allahyarham ada membeli beberapa polisi insurans dan mahu membuat tuntutan terhadap polisi insurans yang menyediakan pampasan tertinggi.

“Arwah tanya pendapat saya polisi insurans mana satu yang patut dipilih untuknya buat tuntutan. Namun tak sangka jadi macam ni pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pada tubuh mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jenazah mangsa dituntut bapanya kira-kira jam 12.40 tengah malam untuk disemadikan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");