Sukan Hari Ini

Ngauman Speedy Tigers

AKSI membanggakan dipamer skuad hoki negara dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016 QNET apabila dengan mudah menundukkan pencabar mereka dalam tiga perlawanan awal peringkat kumpulan.

Malah, dengan mata penuh dari tiga perlawanan itu, The Speedy Tigers berjaya layak lebih awal ke separuh akhir.

Jelas ia petanda positif apatah lagi sebelum ini mereka mempamerkan aksi hambar dalam siri jelajah persahabatan dan Liga Hoki Australia (AHL) baru-baru ini.

Langkah kanan skuad negara bermula seawal perlawanan pertama apabila menumpaskan juara bertahan Pakistan 4-2.

Kemenangan itu menjadi tonik berharga skuad kendalian Stephen van Huizen selepas itu apabila mencatatkan keputusan bergaya menumpaskan China 5-1 dan memalukan Jepun 7-2.

Penyudah kembali tajam

Tidak keterlaluan jika dikatakan kepulangan semula penyerang berbisa negara Faizal Shaari selepas digantung enam bulan memberikan lebih sengat di bahagian serangan pasukan.

Faizal setakat ini menjaringkan tiga gol dari 16 gol yang tercipta dari tiga perlawanan awal.

Jumlah 16 gol itu menjadi bukti dan penanda betapa skuad negara tidak ketandusan pemain penyerang berkualiti buat masa ini.

Namun, kejohanan masih di peringkat awal dan masih banyak yang diharap mampu diberikan pemain negara dalam edisi kali ini.

Walaupun menepati sasaran utama untuk layak ke peringkat separuh akhir, Van Huizen masih melihat banyak kekurangan dipamerkan pemainnya.

Jelas Van Huizen, dia akan cuba memperbaiki kelemahan tersebut dalam usaha memastikan trofi edisi kali ini menjadi milik skuad negara.

“Secara keseluruhan, masih ada kelemahan terutama prestasi individu pemain yang perlu diperbaiki. Jadi kita perlu mengatasi dan meningkatkannya jika mahu pergi lebih jauh pada kejohanan ini

“Contohnya dalam perlawanan menentang China, pemain dilihat seperti hilang punca pada lima minit terakhir perlawanan dan jika tidak diatasi, ia mungkin boleh membawa padah kepada kita,” katanya.

Tugas berat menanti

Tempoh rehat selama dua hari yang dimiliki skuad negara akan digunakan sebaik mungkin Van Huizen apabila bakal bertemu India esok.

Walaupun sudah berjaya layak ke separuh akhir, kemenangan sudah semestinya dituntut untuk memastikan kemaraan penuh bergaya Speedy Tigers dalam edisi kejohanan kali ini.

“Tempoh rehat akan digunakan untuk memastikan pemain berada pada tahap kecergasan terbaik dan merencana taktikal terbaik bertemu India dan Korea Selatan.

“Kedua-dua pasukan adalah sasaran untuk ditumbangkan dan kami sedar perlu bermain lebih baik daripada tiga perlawanan awal untuk menewaskan mereka,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");