Membawang Hari Ini

Noorshila aktif nyanyi, bisnes

Lama juga kita tidak dengar perkembangan terbaru penyanyi Noorshila Amin yang popular dengan lagu Kad Ucapanmu dan Rambu Ramba.

Ketika zaman kemelesetan ekonomi pada 1998, Noorshila, 52, sama seperti kebanyakan artis lain beralih menceburi bidang perniagaan dengan menjual makanan.

Bagaimanapun, Berasakan terlalu banyak cabaran terpaksa dihadapi, dia buat keputusan berhijrah ke Langkawi, Kedah bagi mencari pengalaman baru.

“Saya dan suami, Norrizan menyanyi dan menetap di Langkawi sehingga 2004 sebelum pulang semula ke Seremban.

“Di Langkawi saya buat persembahan bersama suami dan belajar main gitar dan keyboard dengannya.

“Dengan izin Allah, daripada langsung tak tahu apa-apa, saya kini sudah boleh bermain dua instrumen ini,” katanya.

Noorshila yang sudah merakam lima album dan terakhir berjudul Luahan Hati pada 2003 berkata, dia masih aktif menyanyi dan sering menerima undangan menjayakan persembahan di seluruh tanah air.

“Tawaran yang diterima meliputi majlis makan malam serta persembahan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Nak dikatakan banyak sangat pun tak juga tapi setiap bulan pasti ada undangan. Tak dinafikan saya kurang mendapat liputan di media massa ketika menetap di Langkawi tetapi selepas itu banyak juga publisiti diterima,” katanya.

Menurut Noorshila, dia gembira kerana peminat masih mengingati lagu dendangannya dan menunggu kemunculan semula untuk menyanyi.

“Saya hargai sokongan tidak berbelah bahagi peminat. Terfikir juga mahu hasilkan single baru tetapi bergantung kepada situasi.

“Sekiranya mahu buat kemunculan semula, lagu mestilah ikut peredaran semasa dan kena dengan cita rasa pendengar. Saya tak kisah ambil masa lama asalkan apa yang dihasilkan itu yang terbaik,” katanya.

Noorshila mengakui gembira menceburi bidang perniagaan menerusi syarikatnya Titanius Global Enterprise yang mengeluarkan rempah dan minuman.

“Perniagaan ini diusahakan sejak 2013 dan syukur saya kini bergelar usahawan selebriti yang mempunyai kilang sendiri.

“Sambutan yang diterima sangat positif terutama peminat dari Singapura. Saya seronok berniaga tapi tetap menyanyi kerana masih ada pemintaan peminat,” katanya.

Dek keyakinan tinggi terhadap perniagaan yang diusahakan, dua anak perempuannya, Nurrul Admiena Norrizan, 32, dan Nurrul Nadia, 30, sanggup melepaskan jawatan besar bagi membantunya.

“Nurrul Admiena dulu bekerja sebagai pengurus di sebuah bank, manakala Nurrul Nadia pula pernah bergelar peguam. Mereka nampak prospek perniagaan ini.

“Setiap hujung minggu kami akan buka gerai jualai di merata karnival. Alhamdulillah, selepas ini barangan keluaran saya akan masuk pasar raya di Pahang,” katanya.

Perkahwinannya dengan Norrizan, 56, turut dikurniakan dua anak lelaki iaitu Mohd Daniel Durrany, 22, dan Mohd Banni Basyishar, 20.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");