Membawang Hari Ini

Pencipta heavy metal

Evolusi muzik Black Sabbath mempengaruhi hampir semua band rock di dunia. Jika anda mengaku sebagai seorang ‘rocker’ sejati dan penggila muzik rock, Black Sabbath antara band yang wajib anda tahu.

Pada lewat tahun 1960-an, ketika arena muzik lebih dikuasai oleh blues, flower power, psydhelic rock, folk dan budaya hippie, Black Sabbath yang ditubuhkan pada 1968 di Birmingham, England ini pula tampil berbeza dengan konsep muzik yang lebih berat dan ‘dark’.

Dianggotai Ozzy Osbourne (penyanyi), Tony Iommi (gitar), Geezer Butler (bass) dan Bill Ward (dram), mereka dilabel sebagai pelopor kepada muzik heavy metal dan ‘anthem’ kepada semua genre metal hinggalah hari ini.

Ada yang mendakwa, tanpa Black Sabbath tidak akan wujud genre metal lain seperti doom metal, thrash metal, death metal, grindcore hinggalah black metal.

Pengaruh daripada Black Sabbath menjangkau kepada hampir semua band rock popular di seluruh dunia. Daripada Judas Priest, Kiss, Iron Maiden hinggalah revolusi speed metal dan thrash metal daripada Metallica, Megadeth, Slayer, Anthrax dan Sepultura.

Malah, muzik mereka turut mempengaruhi evolusi muzik hardcore punk daripada Black Flag, Discharge hinggalah era grunge seperti Green River, Temple of The Dog, Soundgarden dan Nirvana pada awal 1990-an.

Namun, Black Sabbath tidak bermula dengan muzik rock tetapi blues dan menggunakan nama Polka Tulk Blues Band.

Geezer dalam satu temu bual dipetik sebagai berkata, populariti The Beatles dan The Shadows ketika itu banyak mempengaruhi mereka untuk bermain muzik.

“Kami bermula dengan muzik blues dan psychedelic. Di peringkat awal kami banyak bermain muzik blues daripada Robert Johnson, John Lee Hooker, Willie Dixon dan Skip James,” katanya.

Namun, selepas setahun ditubuhkan, nama Polka Tulk Blues Band ditukar kepada Earth. Kemudian mereka mendapati nama Earth sudah digunakan band lain dan akhirnya ia ditukar kepada Black Sabbath.

Nama Black Sabbath diambil sempena judul filem seram lakonan Boris Karloff yang ketika itu ditayangkan di panggung wayang berhadapan dengan tempat mereka berlatih.

Bermula dari situlah arah muzik Black Sabbath berubah.

Ozzy berkata, Iommi yang ketika itu melihat orang ramai beratur panjang di panggung wayang untuk membeli tiket filem seram mendapat satu idea.

“Dia berkata, ramai orang sanggup habiskan duit untuk menonton filem seram. Jadi, kenapa tidak kita hasilkan muzik seram? Tak lama kemudian dia menghasilkan ‘riff’ gitar yang bagi saya, bunyinya sangat seram! Ia akhirnya membawa kepada penciptaan lagu berjudul Black Sabbath yang dimuatkan dalam album sulung kami,” katanya.

Menggunakan efek bunyi hujan, guruh dan loceng gereja menjadikan intro lagu Black Sabbath agak ‘menyeramkan’. Ini ditambah dengan ‘riff’ gitar Iommi yang dimainkan dalam tempo perlahan, tetapi berat sekali gus kedengaran seperti muzik latar filem seram.

‘Sound’ gitar begitu terhasil apabila Iommi terpaksa merendahkan ‘tune’ bagi memudahkan dia memetik tali gitar. Ini berikutan sebahagian jari hantu Iommi terputus akibat kemalangan sewaktu bekerja di kilang besi ketika berusia 17 tahun.

Lirik yang kebanyakannya dihasilkan Geezer pula lebih kepada hal alam ghaib, mistik, mitos dan peperangan. Inilah inti pati dalam album Black Sabbath seterusnya, malah mereka turut dilabel sebagai pemuja syaitan berikutan konsep muzik dan lirik lagu, tetapi mereka menafikan sekeras-kerasnya.

Selepas kelahiran album sulung pada 1970, Black Sabbath tidak menoleh ke belakang lagi. Mereka kemudian muncul dengan album hebat dalam genre heavy metal seperti Paranoid, Master of Reality, Volume 4, Sabbath Bloddy Sabbath, Heaven & Hell dan Mob Rules.

Hingga hari ini Black Sabbath sudah memiliki 19 album studio termasuk yang terbaru iaitu 13 yang dipasarkan pada 2013.

Iommi kekal hingga hari ini

Seperti kebanyakan band rock lain, Black Sabbath tidak terkecuali mengalami perpecahan. Hanya Iommi yang tidak pernah meninggalkan Black Sabbath sejak ditubuhkan hingga hari ini.

Anggota asal Black Sabbath bertahan hingga tahun 1978 sebelum Ozzy keluar selepas merakamkan album kelapan Never Say Die! Dia digantikan Ronnie James Dio yang cemerlang bersama band ini dalam album Heaven & Hell dan Mob Rules.

Antara pemuzik lain yang pernah bersama dengan Black Sabbath ialah Glenn Hughes (penyanyi, bass), Ian Gillan (penyanyi), Tony Martin (penyanyi),Vinny Appice (dram), Cozy Powell (dram), Eric Singer (dram) dan Geoff Nicholls (bass).

Pada 1997, Ozzy, Iommi, Geezer dan Bill kembali bergabung dan menghasilkan album ‘live’ berjudul Reunion.

Pada 11 November 2011 Black Sabbath mengumumkan akan merakamkan album terbaru selepas 33 tahun tanpa sebarang album yang akan dipasaran pada 2013 diikuti dengan konsert jelajah dunia.

Bagaimanapun, pada 2012 Ward mengumumkan dia menarik diri daripada ‘reunion’ Black Sabbath kerana tidak bersetuju dengan syarat-syarat kontrak bersama anggota lain.

Pemain dram Rage Againts The Machine dan Audioslave, Brad Wilk mengisi kekosongan itu dan bermain untuk rakaman album 13, manakala Tommy Clufetos mengisi posisi dram bagi konsert jelajah Black Sabbath.

Pada Januari lalu, Ozzy, Iommi dan Geezer yang kini masing-masing sudah berusia 67 dan 68 tahun mengumumkan Black Sabbath akan mengadakan konsert jelajah terakhir mereka yang dinamakan The End Tour.

Ia bermula di Omaha, Amerika Syarikat pada 20 Januari lalu sebelum ke Kanada, Australia, New Zealand dan Eropah. Mereka baru saja selesai mengadakan persembahan di Amerika Syarikat bulan lalu dan akan menyambung siri konsert jelajah ini di Amerika Selatan, bulan depan hingga Disember.

Black Sabbath akan menamatkan The End Tour di kampung halaman mereka di Birmingham pada 4 Februari tahun depan.

Sama ada band legenda ini akan meneruskan legasi mereka selepas itu, hanya mereka saja yang tahu!

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");