Sukan Hari Ini

Pescao Fifty Five buru podium

Petaling Jaya: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mahu menamatkan kemarau podium pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Hafizh, 22, biarpun sedang mengalami kecederaan ringan pada betis kiri ketika beraksi di Litar Phillip Island, Australia Ahad lalu, beliau optimis mampu beraksi dengan baik terutamanya di laman sendiri.

“Semua pelumba inginkan podium, saya juga sudah beberapa kali menghabiskan perlumbaan di tempat keempat dan hampir berada di podium cuma rezeki belum berpihak kepada saya.

Saya akan cuba memberi saingan yang terbaik untuk menamatkan perlumbaan dan mahu berada di podium katanya pada sidang media bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia di Pescao55 Concept Store, hari ini.

Hafizh yang dikenali sebagai ‘Pescao’ berkata selain litar basah beliau mempunyai pengalaman beraksi di litar kering dalam keadaan cuaca panas di Sepang.

“Saya mempunyai sedikit kelebihan dari segi keadaan cuaca yang panas. Saya juga sudah mencuba litar baru di Sepang,” katanya.

Pelumba yang berasal dari Selangor itu juga mahu kekalkan kedudukan di tempat ke-10 teratas untuk keseluruhan perlumbaan.

“Sekarang saya jatuh di kedudukan kesembilan keseluruhan berikutan gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan lalu di Litar Phillip Island, Australia yang menyebabkan saya gagal mengutip mata.

“Bagaimanapun, saya akan lakukan terbaik untuk memastikan kekal dalam 10 kelompok terbaik. Tiada yang mustahil kerana perlumbaan masih berbaki dua pusingan lagi,” katanya menduduki tangga kesembilan keseluruhan dunia dengan 106 mata kelas Moto2.

Hafizh melahirkan rasa bangga terhadap prestasinya pada musim ini kerana berjaya mengumpul mata melebihi 100 yang beliau inginkan sejak musim lalu.

Sepang adalah pusingan ke-17 sebelum saingan akhir MotoGP musim berlangsung di Valencia 11-13 November ini.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");