Sukan Hari Ini

PKBM mohon maaf

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memohon maaf berhubung salah faham membabitkan penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) pada 2018 apabila tidak memaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan terlebih dulu.

Jelas Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab, wujud perbezaan pemahaman dan tafsiran mereka mengenai Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan (1997) yang memerlukan kebenaran menteri sebelum mengemukakan tawaran menjadi tuan rumah di peringkat antarabangsa.

“Kami berpandangan Seksyen 33 hanya untuk orang perseorangan dan bukannya badan sukan. Kami sebaliknya menggunakan Seksyen 34 kerana kami bukannya orang perseorangan dan ia menimbulkan kekeliruan. Jadi pertemuan dengan pihak Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) hari ini (semalam) bagi menjelaskan perkara ini.

“Kami mohon maaf. Sekiranya penganjuran mendatangkan masalah, kami mengulangi untuk bersedia menarik diri menjadi tuan rumah dan berkemungkinan Korea Selatan boleh menjadi pengganti,” katanya.

Seksyen 33 APS menjelaskan: “Tiada seorang pun boleh membuat tawaran untuk menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan atau acara sukan antarabangsa di Malaysia tanpa kelulusan bertulis menteri terlebih dulu dan keputusan Menteri mengenainya adalah muktamad.”

Bagaimanapun Abu Samah menjelaskan pertemuan dengan Timbalan Pesuruhjaya Sukan Mohd Saleh Ghazali semalam tampak positif sebelum rumusan diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman untuk dipanjangkan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Malah Abu Samah menjelaskan penganjuran berkenaan tidak menjejaskan (kewangan) pihak luar kerana setiap pelumba dikenakan bayaran sekitar AS$90 (RM376.49) sehari.

“Jadi masih ada lebihan apabila ditolak perbelanjaan tertentu. Jadi kita tidak memerlukan bantuan lain dalam menganjurkan ACC nanti selain turut menjimatkan kos atlet negara sendiri apabila bertanding dalam negara,” jelasnya.

Isu bermula apabila PKBM mengumumkan kejayaan mendapatkan hak penganjuran ACC bagi acara trek namun Khairy mengarahkan Zaiton mendapatkan penjelasan daripada badan induk berbasikal negara itu kerana di luar pengetahuannya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");