Berita Hari Ini

Pulangan setiap tahun

Kecenderungan sesetengah anggota masyarakat menyertai skim cepat kaya kerana tarikan pulangan besar yang diraih pelabur awal skim itu.

Walaupun peringatan demi peringatan dibuat terhadap keburukan skim itu, masih ramai yang tidak serik.

Malah, ada saja skim baru yang muncul setiap hari dan memperdaya orang ramai untuk melabur.

Paling menakutkan, sindiket itu turut menjaja agama sebagai modal untuk menipu sehingga ada yang bertopengkan seminar keusahawanan dan konsep pemasaran pelbagai peringkat (MLM) sebagai samaran untuk memperdaya bakal pelabur.

Tanpa mengira mereka golongan profesional, pelajar, orang kampung atau bandar, ramai menjadi mangsa kerana inginkan pulangan pantas daripada pelaburan, walaupun pulangan yang dijanjikan itu kelihatan amat luar biasa.

Bagaimanapun, walau sebijak mana sindiket ini menipu, sekiranya orang ramai tidak mengejar keuntungan pantas dan mempunyai ilmu mengenai pelaburan, mereka pasti gagal memperdayakan pengguna.

Malah, peluang pelaburan yang ditawarkan unit amanah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) mencukupi jika masyarakat inginkan destinasi pelaburan yang mampu menjanjikan pulangan kompetitif.

Pada kadar risiko yang rendah kerana ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit, orang ramai sewajarnya tidak mencari peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam persekitaran ekonomi yang mencabar hari ini.

Mungkin pulangan tahunan yang diberikan tidak sehebat dijanjikan skim cepat kaya tetapi ia pasti lebih selamat lebih-lebih lagi kerana diuruskan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), intisuti pelaburan terbesar negara.

Sudah pastinya pelaburan dalam mana-mana unit amanah adalah selamat kerana ia diuruskan oleh individu profesional dan berpengalaman luas dalam bidang itu.

Semua syarikat itu juga di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang sentiasa memastikan kepentingan orang ramai terjamin.

BNM dalam laman webnya menasihatkan orang ramai usah membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia di bawah undang-undang yang berkaitan.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya meragui sebarang skim yang ditawarkan.

Paling menyedihkan apabila seseorang itu sudah menjadi mangsa kepada skim cepat kaya ini, wang yang dilaburkan gagal diperoleh semula kerana perlindungan pengguna di bawah undang-undang yang ditadbir BNM tidak terpakai sekiranya orang ramai memilih untuk berurusan dengan penyedia perkhidmatan kewangan tidak sah.

Bayangkan jika anda seorang pesara yang melaburkan semua wang ke dalam skim ini atau pelajar yang masih memerlukan wang untuk kehidupan seharian dan golongan profesional yang ingin membina tabungan persaraan?

Oleh itu, usah mencari keuntungan luar biasa daripada pelaburan dan jika boleh mantapkan ilmu pelaburan dengan membuat kajian sewajarnya sebelum sebarang keputusan dibuat.

Terdapat banyak peluang pelaburan yang sah ada di negara ini dan boleh memberi pulangan berdasarkan risiko yang sanggup ditanggung.

Daripada kehilangan wang kepada sindiket tidak bertanggungjawab, lebih baik memilih unit amanah atau pasaran saham.

Jika di pasaran saham, harga saham yang boleh turun atau naik mungkin menyebabkan pelabur tidak keruan, tetapi sekurang-kurangnya syarikat yang tersenarai ada mengumumkan dividen setiap tahun.

Dalam jangka panjang, pelabur mungkin berpeluang meraih keuntungan, lebih-lebih lagi jika harga saham meningkat.

Begitu juga jika melabur dalam unit amanah harga tetap seperti ASB, Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dan Amanah Saham 2020 (ASW 2020), pelabur pastinya tidak kehilangan modal, malah dijanjikan dividen setiap tahun.

Sekiranya melabur dalam unit amanah harga berubah, sama seperti pasaran saham, pelabur mungkin memperoleh keuntungan daripada peningkatan harga seunit atau mengalami kerugian jika harga turun, tetapi masih mempunyai pulangan setiap tahun.

Justeru, masyarakat perlu memilih pelaburan yang diiktiraf pihak berkuasa supaya tidak tertipu dengan janji manis sindiket tidak bertauliah ini.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");