Membawang Hari Ini

Siti sedia hadapi kritikan

Selepas 10 tahun berkahwin dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau dikenali sebagai Datuk K, penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza, 37, bakal muncul dalam program realiti berjudul CTDK-ation.

Menurut Siti, dia sudah bersedia untuk menerima segala komen dan kritikan daripada penonton apabila program itu ditayangkan kelak.

“Program ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi saya berharap ia memberi pengajaran berguna kepada semua penonton. Apatah lagi ia turut menyelitkan unsur kekeluargaan dan kasih sayang. Jadi ia sesuai untuk tontonan semua.

“Apabila bersetuju menjayakan program ini, bermakna saya bersedia untuk berkongsi apa yang berlaku dalam kehidupan seharian kami bersama peminat. Kami tidak bimbang mengenai kritikan kerana sudah lali dengannya,” katanya.

Namun, Siti yang kini popular dengan lagu Jaga Dia Untukku mengakui, masih perlu menjaga batas agar tidak timbul perkara yang boleh mengaibkan.

Dia tidak mahu sekiranya ada perkara yang dipertontonkan boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat.

“Banyak orang cakap kalau program realiti, apa saja yang kita lakukan atau perkatakan akan dirakam. Malah, saya mengetahui perkara itu dan bakal melalui situasi berkenaan. Cuma saya ada meminta penerbit supaya menekankan lebih banyak nilai murni.

“Bukan bermaksud saya nak yang kelihatan sempurna saja, tetapi ada juga kekurangan yang ditunjukkan. Maksudnya, dalam program ini nanti penonton boleh melihat sisi lain saya yang tak pernah diketahui orang lain.

“Namun, perkara itu tidak sampai mengaibkan diri sendiri atau keluarga. Saya masih lagi perlu menjaga batasan,” katanya.

Program realiti itu bakal memulakan penggambaran menerusi percutian Siti bersama keluarga besar Datuk K di beberapa negara seperti Portugal, Sepanyol dan Emiriah Arab Bersatu selama 21 hari bermula 2 November ini.

Seramai 29 ahli keluarga Datuk K menyertai percutian itu dan turut terbabit dalam rakaman program realiti itu.

“Insya-Allah program ini akan ditayangkan sebanyak 10 episod pada Januari tahun depan. Cuma saya belum berkongsi di saluran mana ia ditayangkan. Jadi kena sabar dan tunggu,” katanya yang ditemui pada acara Ariani Hijab Run 2016 di Jakel Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Larian sepanjang lima kilometer itu membabitkan sekitar ibu negara di Jalan Munshi Abdullah, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee.

Peserta larian dilepaskan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Jakel Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel.

Selain Siti, turut menyertai acara ini adalah duta Ariani iaitu Bella Dally, pengacara Fara Fauzana dan pelakon Kuza.

‘Duet’ bersama mendiang Whitney Houston

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya seninya, Siti kini dalam perancangan untuk menghasilkan album pop terbarunya yang dijangka dilancarkan pada awal tahun depan.

“Saya sudah mendapat beberapa lagu termasuk dari komposer Malaysia dan Indonesia. Menariknya penyanyi Opick juga ada menyatakan hasrat untuk memberikan satu lagu.

“Buat masa sekarang saya dan pasukan masih dalam proses membuat pemilihan. Insya-Allah saya akan memulakan proses rakaman pada bulan depan,” katanya.

Pada masa sama, Siti yang baru muncul dengan lagu duet bersama Faizal Tahir berjudul Dirgahayu Cintaku yang juga lagu tema drama Lara Aishah sedang dalam proses merealisasikan beberapa projek yang sudah dirancang.

Antaranya album etnik bersama Pak Ngah, klip video Memories yang disampaikan secara ‘duet digital’ bersama idolanya mendiang Whitney Houston dan penerbitan beberapa DVD konsertnya.

“Buat masa sekarang, saya mahu fokus pada album pop terlebih dahulu, manakala album etnik itu masih dalam perancangan.

“Mengenai video klip lagu Memories pula, pihak Yonder Music memaklumkan masih terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan membabitkan hak penyiaran gambar.

“Manakala DVD untuk konsert Satu Suara Volume 2 di Istana Budaya juga masih menunggu kelulusan daripada pihak berkaitan kerana membabitkan syarikat rakaman berbeza dan artis luar negara,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");