Berita Hari Ini

Sokong langkah Spad kaji perkhidmatan tram

KUALA LUMPUR – Rancangan kerajaan mengadakan kajian? kemungkinan ke atas perkhidmatan tram sebagai alternatif kaedah pengangkutan awam di Kuala Lumpur menarik minat penduduk bandar raya ini.

Mereka mengakui ia mampu menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan masalah kesesakan jalan raya yang cukup sinonim dengan kehidupan di bandar raya.

Seorang usahawan, Syasya Idris, 46, berkata perkhidmatan tram mampu menambah nilai dan meningkatkan sistem pengangkutan awam sedia ada kerana ia bukan sekadar menjadi penghubung antara satu tempat dan tempat lain tetapi juga menaikkan lagi nama Kuala Lumpur di pentas antarabangsa

“Saya mempunyai pengalaman menggunakan tram di Paris dan saya harap lebih ramai orang akan memilih kaedah pengangkutan ini apabila ia diadakan di sini kerana ia lebih cekap.

“Jika perkhidmatan tram diadakan di sekitar kawasan Kuala Lumpur, saya adalah antara yang paling gembira,” katanya kepada Bernama.

Pelajar, Harry Allen, 20, berkata beliau gembira dengan penekanan yang diberikan kerajaan ke atas infrastruktur dan pembangunan di negara ini

“Cadangan perkhidmatan tram itu adalah baik kerana ia memudahkan warga kota untuk bergerak di sekitar Kuala Lumpur. Mereka tidak akan menghabiskan banyak masa menempuh kesesakan lalu lintas.

“Apabila pengangkutan awam cekap, orang ramai akan meninggalkan kereta mereka di rumah dan memilih menggunakan pengangkutan awam kerana lebih selesa,” katanya sambil mahukan tram yang bersih daripada segi alam sekitar.

Seorang lagi warga kota, Jerry Chong, 50, mengalu-alukan rancangan itu yang memberi pilihan tambahan kepada orang ramai untuk ke pejabat atau aktiviti lain.

“Saya gembira dengan kerajaan yang merancang sesuatu seperti ini untuk meringankan keluhan penumpang seperti kami,” katanya.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melakukan kajian kemungkinan perkhidmatan tram di Kuala Lumpur sebagai kaedah alternatif pengangkutan awam.

Menurut laporan Perjalanan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD) 2010-2015, kajian itu akan selesai pada tahun depan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");