Sukan Hari Ini

Speedy Tigers mengganas

Kuantan: Skuad kebangsaan mencatat kemenangan bergaya apabila menewaskan Jepun 7-2 pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Indera Mahkota, malam tadi.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu terpaksa menanti sehingga minit ke-23 untuk mendahului lawan menerusi gol padang Aiman Nik Rozmi yang melakukan pukulan kencang menewaskan penjaga gol Jepun Masahito Kunitomo.

Kebangkitan pemain kebangsaan mula terserlah apabila gol kedua dihasilkan empat minit kemudian oleh penyerang lincah Rashid Baharom yang menampan pukulan Nabil Noor.

Bermula babak kedua, Jepun melakukan asakan ke kubu skuad kebangsaan menerusi jentera serangan mereka yang diketuai ketua pasukan Hiroki Sakamoto namun tidak berhasil menembusi kubu negara.

Dalam keghairahan pelawat memburu gol, mereka dihukum menerusi gol kedua peribadi Nabil pada minit ke-33.

Malam ceria anak buah Van Huizen terus dijelmakan Faizal Saari untuk gol keempat pada minit ke-37.

Ketinggalan 0-4 tidak mematahkan semangat pemain skuad matahari terbit itu apabila terus melakukan asakan ke kubu pasukan kebangsaan hingga memaksa penjaga gol S Kumar bekerja keras mengawal gawang.

Kegembiraan pasukan negara yang mendapat sokongan padu peminat tempatan terus berlarutan apabila gol kelima hadir menerusi penyerang lincah Firhan Ashari pada minit ke- 44.

Fitri Saari menambah derita pelawat apabila menghasilkan gol keenam pada minit ke-58 sebelum abangnya, Faizal menyempurnakan pukulan penalti selang seminit kemudian.

Jepun bagaimanapun bangkit di penghujung permainan menerusi Kenji Kitazato yang menjaringkan gol pada minit ke-59 sebelum Kentaro Fukuda menambah jaringan seminit kemudian untuk kedudukan 7-2 yang kekal hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, pada perlawanan terdahulu, India terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan Pakistan 3-2.

Gol India dijaringkan Pardeep Mor (m-22), Rupinder Pal Singh (m- 43) dan Ramandeep Singh (m-44) manakala gol Pakistan disumbangkan Muhammad Ridzuan (m-31) dan Muhammad Ifran (m-39).

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");