Sukan Hari Ini

The Cops belum selamat

PRESTASI terumbang-ambing skuad PDRM dalam saingan Liga Super nampaknya belum lagi menemui titik noktah.

Dengan mengumpul 20 mata dan berada di kedudukan kesembilan liga menjadikan status PDRM ibarat telur di hujung tanduk dan mempunyai kemungkinan untuk diturunkan ke Liga Perdana musim hadapan jika mencatat kekalahan pada perlawanan terakhir menentang Sarawak FA.

CARI JALAN

BAKAL bertandang ke Kuching untuk perlawanan terakhir Liga Super pada 22 Oktober nanti, ini merupakan misi wajib menang buat skuad The Cops jika masih mengimpikan saingan di Liga Super musim hadapan.

Hal ini diakui pengendalinya, Fauzi Pilus yang memberitahu pasukannya akan mencari jalan untuk mengutip tiga mata berharga dalam perlawanan terakhir itu.

“Kita akan cari jalan untuk memastikan kemenangan dalam perlawanan terakhir nanti.

“Kita juga tidak boleh mengharapkan keputusan daripada perlawanan lain untuk terus kekal dan perlu fokus untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan terakhir yang bakal kami hadapi.

“Kami sudah tidak mempunyai pilihan melainkan perlu menang untuk mengelakkan daripada berdepan penyingkiran ke Liga Perdana,” katanya.

TidaK KONSISTEN

DALAM pada itu, Fauzi turut menyifatkan aksi tidak konsisten menjadi punca pasukannya bergelut di akhir musim.

“Kita dah lakukan kajian dan mendapati ada sesetengah pemain yang mengalami draf turun naik dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Ada ketikanya pemain tersebut beraksi cemerlang dan dalam perlawanan lain pemain tersebut tidak berada pada prestasi terbaiknya. Faktor tak konsisten inilah yang menghukum kami dalam beberapa perlawanan terakhir.

“Namun, kami sudah memperbaiki masalah ini dan diharapkan pemain-pemain yang akan diturunkan nanti dapat beraksi cemerlang untuk mengutip tiga mata buat pasukan,” katanya.

CROCS ADA KELEBIHAN

FAUZI turut mengakui pasukannya yang kini terikat dengan saingan separuh akhir Piala Malaysia mungkin memberikan sedikit kelebihan buat Sarawak.

Namun begitu, Fauzi tidak mahu menjadikan itu alasan buat pasukannya mengekalkan rekod buruk dalam perlawanan terakhir Liga Super.

“Saya akui Sarawak memang ada kelebihan untuk berehat panjang dan lebih banyak berlatih.

“Tetapi saya harus terima perkara ini dan bersedia untuk hadapi segala kemungkinan.

“Bagi saya, perlawanan ini sangat penting untuk pasukan. Mereka harus tahu tanggungjawab masing-masing dan bangkit pada perlawanan terakhir ini bagi mengelakkan penyingkiran dari Liga Super,” katanya.

JULANG TROFI?

SUDAH sampai ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia, Fauzi enggan lagi menoleh ke belakang.

Baginya, pasukannya akan terus berusaha untuk menjadi kelab pertama menjulang piala yang berprestij di Malaysia ini.

“Kita dah sampai level ni, sudah tentu kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menang.

“Saya tahu ia bukan mudah apatah lagi bakal bertemu pasukan finalis tahun lalu, Kedah. Namun ia bukan mustahil asalkan pasukan dapat memberi komitmen 100 peratus dalam perlawanan itu nanti,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");