Berita Hari Ini

Tidak kompromi pertubuhan ancam keharmonian

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan pertubuhan yang bergerak atas platform badan bukan kerajaan (NGO) tetapi operasinya menjurus ke arah kegiatan kongsi gelap serta mengancam keharmonian masyarakat negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KDN sentiasa memantau dan mengawal selia semua pertubuhan berdaftar atau tidak berdaftar yang operasinya terjerumus kepada hal yang tidak tercatat dalam pelembagaan pertubuhan berkenaan.

“Ini bertujuan mengelak permasalahan jenayah, perkara-perkara melibatkan ketenteraman awam dan kebencian agama kerana menjadi keutamaan pihak kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hasan ingin tahu langkah yang diambil KDN dalam mengawal selia pertubuhan yang menjurus ke arah kegiatan kongsi gelap.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebanyak 23 kumpulan yang dianggap kongsi gelap dikenal pasti pada tahun lepas dan telah diwartakan sebagai pertubuhan yang melanggar undang-undang.

“Apa yang kita lakukan, kita benteras pertubuhan berkenaan melalui kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan polis,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Hasan berhubung pertubuhan seumpama itu yang dinaungi ‘orang besar’, Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang.

“Walaupun ada di kalangan kita yang berada di dalam Dewan yang mulia ini yang menjadi penaung kepada pertubuhan-pertubuhan itu, terimalah akibat mengikut undang-undang,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");