Sukan Hari Ini

TMJ nafi ramai pemain Kelantan berhijrah ke JDT

JOHOR BAHRU-Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Tunku Ibrahim menafikan berita yang mengatakan ramai pemain skuad Kelantan akan berhijrah ke skuad Harimau Selatan pada musim hadapan.

Katanya, khabar tersebut tidak benar, sebaliknya ada empat pemain dari negeri lain yang akan berhijrah ke Johor.

“Begitu ramai mengatakan pemain Kelantan hendak berhijrah ke Johor. Terus terang saya katakan, berita tersebut tidak benar. Saya ada empat atau lima pemain yang akan berpindah.

“Saya juga ada empat pemain yang akan berhijrah daripada luar negeri Johor, dan ada tiga pemain yang akan naik daripada pasukan JDT II,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Facebook Johor Southern Tiger (JST), di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama pemain-pemain yang bakal menyarung jersi skuad Harimau Selatan.

“Siapa pemain tersebut yang akan datang ke JDT buat masa ini belum boleh saya dedahkan nama mereka tetapi saya mengesahkan bahawa tiada pemain daripada Kelantan.

“Akan ada satu daripada Sarawak, satu daripada T-Team, satu daripada PDRM dan dua daripada Selangor. Manakala tiga lagi daripada JDT II,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan seorang pemain Felda United turut berminat untuk menyertai JDT tetapi pihaknya enggan menerima pemain berkenaan.

“Baru-baru ini, ada seorang pemain Felda yang dahulu kononnya mengeluarkan kenyataan hendak membalas balik budi Irfan Bakti, kini tidak habis-habis menelefon Penyelaras Pasukan JDT, Din Sabran untuk meminta agar dapat bertemu dengan saya untuk bermain semula dengan JDT.

“Nasihat saya kepada mereka, pergilah balas balik jasa Irfan Bakti itu. Masa dahulu sewaktu kami berminat dan beri tawaran dengan cara profesional, dia kononnya hendak tunjuk hero, hari ini merapu-rapu mencari orang,” katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata, beliau berbangga dengan pencapaian JDT kerana bukan sahaja memenangi Liga Super Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut, malah turut menjuarai Paila FA dan Piala Sumbangsih.

“JDT beroleh tiga piala musim ini dan juga berada dalam peringkat separuh akhir Piala AFC. Jika berjaya ke peringkat akhir, Alhamdulillah. Sekiranya tidak berjaya pun tidak mengapa kerana kami telah berjaya hingga ke saingan separuh akhir untuk dua tahun berturut-turut.

“Itu adalah pencapaian yang patut kami hargai dan bersyukur kerana dari situ kita boleh menilai prestasi dan kedudukan kelab kita di peringkat antarabangsa,” katanya

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");