Sukan Hari Ini

Azizul mampu semarak semangat

Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab (gambar) percaya kehadiran pemenang pingat gangsa Temasya Olimpik 2016 Azizulhasni Awang akan menyemarakkan semangat kem Malaysia dalam usaha meraih sasaran 11 emas menerusi acara trek di Sukan SEA tahun depan.

Abu Samah percaya penampilan pelumba yang kini menduduki tangga teratas ranking dunia itu akan membuka laluan mudah kepada pelumba lain termasuk Fatehah Mustafa dan Mohammad Shah Firdaus Sahrom pada temasya dwitahunan itu nanti.

“Saya percaya kehadiran Azizulhasni akan menjadi faktor pemangkin semangat kepada pelumba lain. Sekiranya Azizulhasni mendominasi acara keirin dan pecut individu, saya percaya kem Malaysia mampu membolot antara 11 dan 13 pingat emas.

“Saya juga percaya Shah Firdaus dan Fatehah tidak akan bermasalah untuk rangkul emas dalam acara masing-masing.

“Begitu juga, kita pasti dominasi acara scratch dan 1 kilometer ujian masa individu,” katanya.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata, acara trek akan membuka tirainya pada 28 Ogos 2017 dengan permulaan acara scratch 15km omnium elit lelaki disusuli pusingan kelayakan pecut berpasukan lelaki dan wanita elit.

“Acara yang pasti menjadi tumpuan ramai di Velodrom Nilai nanti sudah pasti acara final keirin lelaki dan wanita elit pada 29 Ogos 2017. Acara ini akan menampilkan dua bintang Malaysia yang bertaraf dunia iaitu Azizulhasni dan Fatehah.

“Sehari kemudian, dua pelumba bintang ini akan turun untuk acara pecut individu. Saya percaya kita akan rangkul empat emas menerusi acara keirin dan pecut individu lelaki serta wanita elit.

“Seterusnya Fatehah mampu tambah kilauan emas menerusi acara 500m ujian masa individu. Saya tidak nampak ada pelumba lain dari rantau Asia Tenggara yang mampu kejutkan Fatehah,” katanya.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) bagaimanapun mengingatkan barisan bintang trek Malaysia supaya tidak terlalu angkuh sehingga gagal melakukan kayuhan bertenaga di Velodrom Nilai nanti.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");