Berita Hari Ini

Buka lebih banyak pusat dialisis

SEGAMAT – Seramai 38,000 pesakit buah pinggang dicatatkan di seluruh negara kini memerlukan rawatan dialisis, dengan tambahan 5,000 pesakit setiap tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, daripada jumlah itu, hanya kira-kira 100 orang sahaja berjaya menjalani pemindahan organ buah pinggang setiap tahun, manakala selebihnya hanya bergantung kepada rawatan dialisis.

“Kementerian Kesihatan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini berbincang langkah sesuai untuk membuka lebih banyak pusat hemodialisis diiktiraf.

“Saya juga dimaklumkan, terdapat kira-kira 40 peratus pusat dialisis di negara ini yang tidak mempunyai lesen untuk menjalankan rawatan ini. Ia juga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan walkabout dan ramah mesra bersama peniaga di sekitar Bandar Segamat, kelmarin.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, jururawat dan doktor yang mahir mengendalikan pesakit dialisis juga akan ditambah serta dilatih oleh kementerian bagi mengisi kekosongan terdapat di negara ini.

“Ini kerana, doktor dalam bidang hemodialisis mesti mempunyai 200 jam latihan, sebelum mereka boleh diiktiraf dan layak melakukan hemodialisis kepada pesakit,” katanya.

Sementara itu katanya, pusat dialisis di negara ini seharusnya mempunyai mutu dan kualiti.

“Kita tidak mahu mereka yang mampu hidup lima tahun lagi, hanya mampu hidup dua tahun sahaja apabila pergi ke pusat dialisis yang tidak diiktiraf ini.

“Pusat dialisis yang dikenal pasti tidak mematuhi SOP dinasihatkan ditutup kerana dibimbangkan mendatangkan bahaya kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta setiap tahun bagi menanggung kos rawatan pesakit buah pinggang, selain kos rawatan dialisis yang semakin meningkat di negara ini.

“Kerjasama NGO dan sektor swasta amat diperlukan untuk menyediakan rawatan ini secara sukarela, tanpa sebarang keuntungan atau menjadikannya sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Rakyat negara ini juga perlu sedar bahawa penyumbang utama kepada kegagalan buah pinggang adalah penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu diabetes dan obesiti,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");