Berita Hari Ini

Kadar muflis golongan muda di Malaysia merisaukan

KUALA LUMPUR: Kadar muflis golongan muda di Malaysia adalah sesuatu yang merisaukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir, berkata berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, sebanyak 97,215 kes kebankrapan dicatatkan di negara ini sepanjang tempoh 2012 sehingga September 2016.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 22,581 kes, atau 23 peratus, membabitkan kategori dewasa muda, atau Gen Y, yang berumur antara 25 hingga 34 tahun diisytiharkan muflis, selain sebanyak 1,157 kes membabitkan mereka berumur di bawah umur 25 tahun.

“Antara sebab utama kebankrapan adalah akibat kegagalan melunaskan pinjaman sewa beli kenderaan membabitkan 26,801 kes, atau 27.6 peratus, disusuli pinjaman peribadi 22,153 kes, atau 22.8 peratus dan pinjaman perumahan 18,819 kes, atau 19.4 peratus.

“Mereka yang diisytiharkan muflis mengakui punca utama kegagalan dalam mengawal kewangan mereka disebabkan terutamanya oleh kurangnya pendidikan dan perancangan kewangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Tengah Hari AKPK di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahya dan Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Dr Aishah Abu Bakar.

AKPK adalah agensi yang diberi mandat oleh BNM untuk mempertingkatkan tahap celik kewangan dikalangan rakyat negara ini, sejajar wawasan ‘Amalkan Pengurusan Kewangan Yang Berhemat Sebagai Budaya Hidup’.

Azaddin berkata, rekod Jabatan Insolvensi Malaysia disokong hasil kajian yang dijalankan Asian Institute of Finance (AIF).

Beliau berkata, AIF mendapati tahap pendidikan kewangan dikalangan remaja adalah rendah, hanya 28 daripada mereka yakin untuk mengendalikan pengurusan kewangan, manakala 58 peratus mengakui memiliki ilmu pendidikan kewangan sederhana.

Bagi Gen Y di negara ini, 38 peratus daripada mereka mengambil pinjaman peribadi, manakala 47 peratus pula terbabit dengan kadar hutang kad kredit tinggi, katanya.

Selain itu, katanya 70 peratus daripada mereka hanya membayar lima peratus jumlah minimum bulanan kad kredit dan seramai 45 peratus gagal membayar hutang mengikut jadual pembayaran balik yang ditetapkan.

“Ini secara tidak langsung memberi tekanan kewangan sehingga terjebak dengan pelbagai hutang,” katanya.

Azaddin berkata, sehingga Oktober 2016, AKPK memberi khidmat nasihat dan kaunseling kewangan kepada lebih 492,000 peminjam, yang mana daripada jumlah itu lebih 164,000 peminjam menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK), program yang ditawarkan kepada peminjam yang tidak dapat mengawal bebanan hutang.

“Hampir kesemua pelanggan yang bermasalah, tidak kira peringkat umur, bangsa, pekerjaan atau kerjaya mengakui mereka tidak mempunyai perancangan kewangan yang baik dari peringkat awal “Dari segi peringkat umur, 15 peratus adalah di bawah 30 tahun dan 39 peratus antara 31 hingga 40 tahun,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");