Sukan Hari Ini

Mahu jadi Azizulhasni

Jika bola sepak Malaysia diwarnai dengan kehadiran saudara kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, mungkin suatu hari nanti sukan berbasikal negara juga bakal dihangatkan dengan aksi memukau kembar Muhammad Adam Adha dan Muhammad Azam Adha Azrul Affendy.

Baru berusia tujuh tahun, pencapaian luar biasa Adam dan Azam yang sudah meraih pelbagai kejuaraan di peringkat usia mereka harus menjadi kelegaan buat warga sukan berbasikal negara dalam meneruskan kesinambungan kayuhan emas pelumba masa kini.

Kejayaan pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016, Azizulhasni Awang atau yang lebih dikenali ‘The Pocket Rocketman’ membuatkan Adam dan Azam bercita-cita mahu menjadi sehebat pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Menurut Adam yang juga abang kepada Azam berkata, mereka menyimpan hasrat untuk beraksi di pentas Olimpik seperti mana yang dilakukan Azizulhasni.

“Saya nak berlumba macam Azizul di Olimpik dan mahu mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” kata Adam.

“Saya suka tengok Azizul berlumba. Dia sangat laju malah cukup berani. Sudah tentu saya juga mahu menjadi sepertinya dan menewaskan pelumba negara lain.

“Saya dan adik (Azam) sering menonton video perlumbaan Azizul yang ayah dapatkan daripada kawannya. Setiap kali masa terluang, saya dan adik akan menonton video itu berulang-ulang bagi mendapatkan teknik kayuhan terbaik,” kata Adam.

Bagi Azam pula, walaupun jadual aktiviti harian mereka berdua agak padat dengan latihan di sebelah petang, ia langsung tidak mengganggu pelajaran.

Meskipun penat, tapi inilah pengorbanan yang harus mereka tempuhi namun berbekalkan minat mendalam, Azam dan Adam tidak pernah mengeluh.

“Sukan ini tidak ganggu pelajaran kami. Latihan dua jam sehari bermula jam 4.30 hingga 6.30 petang. Mula main basikal sejak berusia enam tahun membuatkan jiwa saya kental dan terbiasa mendisiplinkan diri terutama dalam pengurusan masa,” kata Azam yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, Gombak bersama abangnya.

Sering menguasai pelbagai acara perlumbaan trek dan lebuh raya, pasangan kembar itu juga turut mendominasi pertandingan perlumbaan BMX yang dianjurkan di seluruh negara.

“Saya dan abang juga amat meminati acara BMX. Boleh dikatakan apa juga sukan berkaitan basikal kami akan cuba dan lakukan yang terbaik setiap kali menyertai pertandingan,” kata Azam.

Antara kejuaraan yang dikumpul Adam dan Azam adalah juara kategori bawah tujuh tahun di Johor Bharu, juara Novice Kids On The Rock BMX di Gombak, Selangor dan naib juara Pertandingan Gate Bridge di Ipoh, Perak.

Sementara itu ibu mereka, Siti Norhana Saidin Aira berkata, mereka sekeluarga akan terus memberi sokongan kepada anaknya itu supaya dapat meraih lebih banyak gelaran pada kejohanan tempatan dan antarabangsa pada masa depan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");