Sukan Hari Ini

Mohd Faiz layak terima Anugerah Puskas Fifa 2016

GOL menakjubkan Mohd Faiz Subri yang disenarai pendek antara tiga gol terbaik untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016, turut dikongsi legenda bola sepak negara.

Bekas pemain tengah era 70-an dan 80-an, Khalid Ali menyifatkan jaringan penyerang Pulau Pinang itu sebagai yang paling layak dinobatkan sebagai pemenang untuk anugerah berkenaan.

Khalid berkata gol tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri dan luar biasa jika dibandingkan dengan pencalonan jaringan lain, malah turut berpendapat gol itu hanya hadir ‘sekali dalam seribu tahun’.

“Antara tiga gol yang tercalon di peringkat akhir ini, saya yakin gol Mohd Faiz yang paling terbaik kerana hanya gol beliau saja saya lihat mempunyai ciri-ciri menakjubkan.

“Gol tersebut sangat unik dan bukan sebarangan pemain boleh melakukannya… Mohd Faiz layak menerima anugerah tersebut,” katanya kepada Bernama, hari ini.?

Berkongsi pandangan sama ialah bekas penyerang Sabah dan kebangsaan, Hassan Sani yang berpendapat gol itu sesuatu yang hampir mustahil untuk dilakukan, dan menggesa rakyat Malaysia untuk terus mengundi Mohd Faiz.

“Saya begitu bangga kerana gol Mohd Faiz dipilih ke peringkat akhir dan berjaya mengalahkan gol daripada pemain-pemain terkenal dunia seperti Lionel Messi dan Neymar.

“Jika lihat daripada jarak dan sudut sepakan itu, ia hampir mustahil untuk menjaringkan gol tetapi beliau berjaya melakukannya, jadi teruskan mengundi Mohd Faiz kerana kemenangan dia adalah kemenangan kita bersama,” katanya.

FIFA menerusi lama web rasminya, www.fifa.com semalam, mengumumkan tiga gol terbaik ke peringkat akhir untuk Anugerah Puskas FIFA 2016.

Selain gol ajaib Mohd Faiz, turut tersenarai dalam senarai akhir untuk anugerah berkenaan ialah jaringan pemain kelab Corinthians, Brazil, Johnath Marlone Azevedo da Silva dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Jan depan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");