Sukan Hari Ini

Roma kekal ungguli ‘Derby della Capitale’

MILAN: Gol babak kedua jaringan Kevin Strootman dan Radja Nainggolan memastikan Roma terus berhak mendabik dada buat tahun keempat berturut-turut ke atas tetangganya, Lazio hasil kemenangan 2-0, awal pagi tadi.

Dengan hanya satu mata memisahkan kedua-dua pasukan, pertemuan tetangga ibu kota Perancis (Derby della Capitale) yang amat bermakna itu berlangsung dalam stadium separuh kosong apabila ultras Roma membantah peraturan keselamatan lebih ketat yang diperkenalkan kelab tahun lalu.

Roma bagaimanapun tidak terjejas dengan ketiadaan sokongan dan memastikan kemenangan dengan Strootman dan Nainggolan meledak gol berselang 13 minit pada babak kedua.

Roma kini belum tewas dalam lapan edisi pertemuan tetangga itu, bermula dari tahun 2012, dan kemenangan ke-10 musim ini meletakkan anak buah Luciano Spaletti di tangga kedua, empat mata di belakang pendahulu, Juventus.

Spaletti mengakui skuad kendaliannya beraksi hambar pada babak pertama, tetapi memberi isyarat yang dia akan memberi masa tambahan buat pemain-pemain untuk meraikan kemenangan itu.

“Terima kasih kepada barisan tengah yang cemerlang mencari ruang di babak kedua,” kata Spaletti.

“Kami perlu meraikannya kerana apabila anda tewas derby ini, mereka mentertawakan anda. Mereka boleh berpesta dua hari, itu saja.”

Lazio kini empat mata di belakang Roma, dan pengendalinya Simeone Inzaghi mengakui kecuaian membawa padah buat mereka.

“Kami bermula baik dan sepanjang tempoh 60 minit, kami tidak membenarkan Roma melakukan percubaan ke arah gawang,” kata Inzaghi. “Kemudian kami memberikan mereka dua gol dan sekarang kita bercakap tentang kemenangan 2-0 Roma.

Kami tidak sepatutnya melakukan kesilapan sebegitu, kami sedar betapa pentingnya perlawanan ini untuk penyokong kami.”

AC Milan di tangga ketiga, juga ketinggalan empat mata, selepas jaringan lewat permainan Gianluca Lapadula memberikan kemenangan 2-1 ke atas Crotone di San Siro. – AFP/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");