Sukan Hari Ini

Terima kasih Becker

Berlin: Pemain nombor dua dunia Novak Djokovic mengesahkan dia sudah berpisah dengan jurulatih Boris Becker selepas kerjasama selama tiga tahun.

“Boris Becker dan saya memutuskan untuk menamatkan kerjasama kami,” tulis Djokovic, yang memenangi kejuaraan Terbuka Australia dan Perancis tahun ini, dalam laman Facebook miliknya.

Pemain Serbia itu menang 12 gelaran Grand Slam dalam kariernya, enam ketika berlatih di bawah kendalian Becker dari Jerman, dua di Australia (2015, 2016) dan Wimbledon (2014, 2015), serta sekali di Terbuka Perancis (2016) dan Terbuka AS (2015).

“Sasaran dibuat ketika kami memulakan kerjasama sudah dipenuhi dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya dengan kerjasama sepasukan, dedikasi dan komitmennya,” ujar pemain berusia 29 tahun itu.

“Dalam pada itu, perancangan profesional saya kini terarah kepada usaha mengekalkan tahap terbaik dan juga merencana jadual yang baik serta menetapkan sasaran baharu musim depan.

“Sehubungan itu, saya akan membuat semua keputusan mengenai masa depan saya.”

Becker, kini berusia 49 tahun yang memenangi enam Grand Slam, memberi tindak balas dalam Twitter dengan mengepos gambarnya bersama Djokovic meraikan kejuaraan Terbuka Perancis tahun ini dan berkata: “Terima kasih! Kami mempunyai masa menyeronokkan dalam kehidupan… #teamdjokovic.”

Selepas kejayaannya di Paris Jun lalu, Djokovic mengalami babak kedua musim yang berkecamuk, hilang ranking nombor satu dunia dipegangnya selama 122 minggu dari 7 Julai 2014 kepada pemain Britain, Andy Murray bulan lalu.

Djokovic turut kehilangan kejuaraan Wimbledon dan Terbuka AS serta tersingkir pada pusingan pertama Sukan Olimpik Rio di tangan pemenang pingat emas Juan Martin Del Potro dari Argentina.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");