Jenayah

Merayau ditinggal sendirian

Melaka: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun diserahkan kepada polis selepas ditemui orang awam ketika berkeliaran di sebuah stesen minyak di Semabok, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit dipercayai keluar dari rumah di Taman Laksamana Cheng Ho dan merayau di stesen minyak itu selepas ditinggalkan sendirian oleh ibu bapanya yang menghantar dua lagi anak berusia lapan dan sembilan tahun ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, pihaknya belum menerima laporan daripada ibu bapa kanak-kanak terbabit, namun maklum dengan kejadian berlaku.

Beliau berkata, maklumat diterima mendapati stesen minyak berkenaan terletak kira-kira satu kilometer saja dari kediaman keluarga kanak-kanak lelaki itu.

“Saya difahamkan ketika ditinggalkan, kanak-kanak itu sedang tidur di rumah namun dia dipercayai keluar dengan sendiri tidak lama kemudian dan merayau di stesen minyak terbabit.

“Orang awam menemui kanak-kanak itu jam 7.15 pagi lalu menjaganya sementara menunggu polis ke lokasi,” katanya, ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, semalam.

Shaikh Abdul Adzis berkata, anggota terbabit kemudian membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Bandar Hilir, sebelum diserahkan kepada bapanya yang tampil pada jam 9 pagi.

“Kami tidak tahu bagaimana lelaki itu mendapat maklumat bahawa anaknya berada di balai polis. Setakat ini, saya sahkan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur jenayah,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");