Jenayah

Pukul mangsa dengan cota sebelum cuba ragut

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki ditahan selepas meragut seorang wanita dalam kejadian di hadapan sebuah tabika di Taman Seri Emas di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa yang baharu menghantar anaknya di tabika berkenaan dikatakan mahu keluar membeli sarapan di kedai berhampiran sebelum dia dihampiri suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Shafee Abdul Samad berkata, ketika mangsa mahu menghidupkan motosikalnya, suspek yang datang dari arah bertentangan cuba mengambil beg tangan dan menyerang mangsa menggunakan cota.

Menurutnya, mangsa yang berusia 47 tahun itu cuba melawan namun dia dipukul berkali-kali di bahagian kepala sebelum suspek cuba melarikan diri.

Difahamkan, di dalam beg wanita berkenaan hanya mempunyai wang tunai sebanyak RM10 selain sebuah telefon bimbit.

“Pergelutan di antara suspek dan mangsa disedari oleh penduduk di perumahan berkenaan sebelum mereka bertindak mengejar suspek.

“Suspek yang berusia 42 tahun itu berjaya diberkas sebelum dia diserahkan kepada polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Shafee berkata, semakan yang dibuat mendapati suspek berkenaan mempunyai 18 rekod jenayah lampau manakala motosikal yang digunakannya juga dilaporkan hilang di kawasan Nibong Tebal sebelum ini.

Katanya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut manakala mangsa yang mengalami pendarahan di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Parit Buntar bagi mendapatkan rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian berkenaan menjadi tular di laman sosial sejak ia dimuat naik petang semalam.

Rata-rata pengguna laman sosial mengecam tindakan suspek yang memukul mangsa berulang kali di bahagian kepala ketika dia cuba mendapatkan beg tangannya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");