Perak Hari Ini

Semak Dahulu Jemputan Yang Diterima – Zambry

BAGAN DATUK : Pegawai-pegawai kerajaan di negeri ini diingatkan agar menyemak semula dengan kerajaan negeri sekiranya menerima jemputan berhubung sesuatu program yang meragukan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perasmian Lebuhraya Jelapang – Selama – Batu Kawan (JELAS) yang menyaksikan kehadiran pegawai kerajaan dan Speaker Dewan Negeri, S Thangaswary, pada Khamis.

“Mungkin ada sedikit salah faham di kalangan jabatan-jabatan. Saya tidak salahkan pihak pejabat daerah dan pegawai yang hadir kerana apabila mereka menerima jemputan, mungkin mereka akan rasa bertanggungjawab untuk datang kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya tidak mahu memberi amaran, tetapi mungkin di waktu akan datang, mereka perlu fikirkan untuk menyiasat terlebih dahulu tentang sesuatu program yang nak dilaksanakan.

“Mungkin jika ada sedikit sebanyak kebimbangan, mereka boleh dapatkan maklumbalas daripada pihak yang namanya digunakan seperti dari Pejabat Menteri Besar dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi kes berkenaan,”katanya ketika ditemui selepas Program Fit Perak @ Bagan Datuk, hari ini.

Pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk telah merasmikan Fit Perak @ Bagan Datuk di padang Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA) hari ini.

Terdahulu, kerajaan negeri menafikan telah meluluskan projek Lebuhraya JELAS yang kononnya akan dilaksamakn oleh sebuah syarikat swasta.

Mengulas mengenai kehadiran Thangaswary ke majlis perasmian tersebut, beliau telah memaklumkan kepada Speaker Dewan Negeri itu untuk lebih berhati-hati dalam menerima jemputan.

“Apa yang saya lihat, ia telah menimbulkan begitu banyak kekeliruan di kalangan masyarakat dan ianya adalah sesuatu yang tidak elok.

“Jadi saya mengharapkan rakyat dapat kembali kepada kita untuk bertanyakan sesuatu yang mereka tidak pasti,”katanya.

Sementara itu, beliau berkata, program Permukiman Menteri Besar ke Daerah Bagan Datuk yang berakhir hari ini berjaya mengumpulkan maklumbalas yang baik.

“Selain itu, program ini juga mendapat perhatian di peringkat kepimpinan tertinggi.

“Bagi program kali ini, 95 program secara rasmi telah dirancang. Tetapi, ada beberapa program yang tidak ada dalam jadual kita turut kita laksanakan dan ianya menjadikan lebih dari 100 program,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");