Sukan Hari Ini

T-Team kongsi satu mata bertemu Sarawak

HASRAT pasukan berstatus kelab untuk memulakan kempen Liga Malaysia Liga Super dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila sekadar berkongsi satu mata selepas keputusan seri 1-1 ketika turun melayan kunjungan Sarawak dalam aksi pembuka tirai saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pertemuan itu menyaksikan kem tuan rumah bermula garang dengan mencemaskan gawang pelawat menerusi percubaan cantik, Mohd Nor Hakim Hassan seawal minit kedua perlawanan, namun berjaya ditepis keluar Mohd Shahril Saari.

Dua minit berselang giliran kem pelawat pula mengucar kacirkan pintu gol T-Team tetapi asakan skuad Bujang Senang itu dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah yang dikawal rapi Abdoulava Youssouf Maiga dan gandingannya Wan Ahmad Amir Zafran Wan Nadris.

Kedua-dua pasukan terus memperagakan aski saling berbalas serangan dan kem tuan rumah berpeluang untuk membuka jaringan pada minit ke-12 tetapi dipersia-saikan Abdoulava Youssouf Maiga apabila rembatannya sekadar terkena jaring gol.

Empat minit selepas itu, T-Team sekali lagi terlepas peluang untuk berada di depan apabila lorongan kemas Dilshod Sharifuddinov gagal diterjemahkan dengan cemerlang Mohd Nor Hakim Hassan.

Pelawat yang terus melakukan asakan bertali arus ke benteng pertahanan tuan rumah nyaris menamatkan kebuntuan gol pada minit ke 27, namun rembatan penyerang import Sarawak, Mateo Roskam sekadar melambung tinggi meskipun Mohd Izzudin Mohd Hussin sudahpun tertewas ketika itu.

T-Team yang bangkit mengatur serangan seminit selepas itu turut mencemaskan penjaga gawang kem Bujang Senang, bagaimanapun usaha Ahmad Takhiyuddin Roslan untuk meledakkan gol tuan rumah tidak kesampaian apabila rembatan gagal menemui jaring gol.

Bersambung babak kedua menyaksikan kem tuan rumah memperkemaskan rentak permainan dan berjaya menamatkan kebuntuan gol menerusi rembatan kemas Mohd Nor Hakim Hassan selepas menyambut tendangan kencang Farhod Tadjiev hasil sepakan percuma, Mohamad Arif Fadzilah pada minit ke-49.

Jaringan itu nyata menyuntik semangat skuad kendalian Rahmad Darmawan dalam mengukuhkan kedudukan, namun beberapa percubaan merbahaya kem T-Team berjaya dikekang benteng pertahanan Sarawak.

Pelawat yang tidak berputus asa dalam mengatur serangan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi ‘ayam tambatan’, Mateo Roskam pada minit ke-80 hasil hantaran silang, Mark Andrew Hartmann menjadikan keputusan 1-1.

Tuan rumah yang cuba bangkit di penghujung perlawanan bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 sehingga tamat permainan. / Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");