Sukan Hari Ini

Tebus dendam

Sibu: Beregu campuran tidak lagi akan dipandang sepi peminat badminton tempatan kerana selain Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meraih perak Sukan Olimpik Rio 2016, aksi konsisten dua pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat (gambar)-Shevon Lai Jamei harus dipuji.

Semalam Kian Meng-Pei Jing dan Soon Huat-Shevon tidak berdepan masalah mara ke separuh akhir Masters Malaysia di Stadium Tertutup Sibu.

Kian Meng-Pei Jing yang diletakkan pilihan kedua berada pada tahap terbaik selepas menebus dendam kekalahan ke atas pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying apabila menang 21-19, 21-16.

“Agak gembira dan saya tidak jangka kami mampu mara ke separuh akhir. Kalau tengok undian mereka halangan kami yang paling sukar. Kami pernah tumpas di tangan mereka di Terbuka Macau dua bulan lalu. Bagaimanapun, kami sudah melakukan persediaan yang terbaik dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika berdepan mereka,” kata Pei Jing.

Jelasnya, walaupun belum dapat memberikan persembahan 100 peratus, mereka sentiasa fokus dan mengikut perancangan dengan betul.

Bagi Kian Meng pula, aksi semalam jika hendak dibandingkan dengan separuh akhir Terbuka Macau memang sangat berbeza kerana ketika itu prestasinya sedikit menurun.

“Hari ini (semalam) memang lebih baik berbanding ketika kami tumpas dengan mereka di Macau dan apabila mencatat kemenangan saya boleh berasa gembira sedikit,” kata pemain kelahiran Pontian, Johor itu.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon mengakui gementar menjadi punca mereka tumpas set pertama sebelum bangkit mencatat kemenangan 15-21, 21-15, 21-13 ke atas Terry Hee-Loh Kean Hean dari Singapura untuk mara buat kali pertama ke separuh akhir kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas.

“Memang sangat gementar kerana kali pertama bertemu dan pada masa sama mereka juga pasangan kuat. Bagaimanapun kami sudah bersedia cuma set pertama belum mendapat rentak,” kata Shevon.

Separuh akhir hari ini menyaksikan Kian Meng-Pei Jing menentang Tam Chun Hei-Ng Tsz Yau (Hong Kong), manakala Soon Huat-Shevon bertemu Tontowi Ahmad-Gloria Emanuelle Widjaja (Indonesia).-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");