Sukan Hari Ini

Usah terlalu ghairah bertanding

Kata perumpamaan: “Sekiranya anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal!”

Bagi memastikan kejayaan sesuatu program, latihan dan kejohanan perlu dirangka lebih awal, malah tidak dinafikan penggiat sukan sebenarnya lebih ‘peka’ mengatur perjalanan sukan masing-masing sejak hari pertama tahun berkenaan.

Menurut Pengurus Sukan Bahagian Podium Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Pharmy Jalil, kebiasaannya jadual pertandingan akan datang diterima persatuan sukan pada hujung atau suku ketiga tahun sebelumnya.

“Malah ada sesetengah jurulatih atau atlet sudah tahu di mana pertandingan dan kejohanan besar, malah ada yang sudah tahu tarikh seperti Sukan Olimpik, Asia dan Komanwel,” kata Ahmad Pharmy.

Cabaran mula timbul apabila seseorang atlet itu memikirkan adakah mereka dapat menyesuaikan diri dengan jadual kejohanan padat serta pertimbangan lain yang perlu dibuat seperti memilih kejohanan sesuai untuk disertai berdasarkan kepentingan dan logistik.

“Apa yang menjadi isu adalah bagaimana untuk menyelaraskannya dengan kalendar kejohanan tempatan kerana bukan setiap masa atlet dapat bertanding di luar negara. Sekiranya kalendar tempatan ‘kemas dan cantik’ ia memberi lebih peluang buat atlet untuk bertanding.

“Sebagai contoh kita perlukan standard kelayakan untuk ke Sukan SEA tapi apabila tidak banyak kejohanan tempatan, bagaimana hendak memberi peluang kepada atlet mencapai tahap kelayakan.

“Namun, pada masa sama atlet tidak boleh mengambil terlalu banyak kejohanan kerana bimbang akan menjadi beban. Apabila jadual terlalu padat maka sukar untuk menentukan bila atlet akan mencapai tahap kemuncak prestasi.”

Jelasnya, setiap awal tahun jurulatih dan persatuan sukan akan mengetengahkan kejohanan apa yang bakal disertai dalam kalendar sukan dengan ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menimbangkannya mengikut keperluan.

“Semuanya bergantung kepada kewangan, kepentingan dan keperluan untuk menjalani latihan dan pertandingan. Sebagai contoh sekiranya dalam fasa persediaan adakah perlu untuk atlet menyertai pertandingan.

“Ia pelan yang dirancang setiap tahun dan berdasarkan kalendar sukan perancangan akan dibuat mengikut pelan periodisasi termasuk sokongan sains sukan dan perubatan supaya atlet boleh menyerlah pada masa ditentukan.”

Pada masa sama, isu kecederaan yang menjejaskan prestasi atlet perlu diberi perhatian kerana turut memberi kesan terhadap perancangan dilakukan mengikut kalendar sukan.

Dalam hal ini, Ahmad Pharmy menjelaskan perkara terpenting dalam menangani isu berkenaan adalah mengurus kecederaan seawal mungkin dan melihat tahap kecederaan untuk menentukan sama ada atlet boleh kembali bertanding dengan segera.

“Selain itu, apa yang seharusnya dilakukan jurulatih dan atlet adalah memastikan fasa persediaan berjalan baik kerana boleh mengurangkan kebarangkalian berlakunya kecederaan,” kata Ahmad Pharmy.

“Sesuatu kecederaan itu boleh diuruskan secara manual atau pengurusan kecederaan konservatif iaitu sama ada menerusi urutan, fisioterapi, cyroterapi (rawatan menggunakan suhu rendah) atau melalui proses rehabilitasi supaya atlet boleh mengekalkan tahap kecergasan.

“Namun jika kecederaan lebih serius kita perlu menilai sama ada seseorang atlet perlukan pembedahan dan tempoh masa proses rehabilitasi untuk membuat keputusan penyertaan dalam musim sama atau perlu merancang untuk musim berikutnya.”

Ahmad Pharmy tidak menafikan ada atlet yang hanya memikirkan mengenai berapa banyak kejohanan yang mahu disertai tanpa memikirkan risiko kecederaan yang ditanggung.

“Apabila ada atlet yang merancang untuk menyertai banyak pertandingan tetapi mengalami kecederaan tetapi menangguhkan pembedahan selama sebulan sebelum menjalani program pemulihan selama tiga bulan dan hanya ada kurang dua bulan selepas itu untuk kejohanan sebenar, adakah dia sempat untuk membuat persiapan? Perkara seperti inilah yang kita sentiasa mahu bincang dengan atlet dan jurulatih.”

Justeru menurutnya, pendekatan terbaik dalam mengurangkan kebarangkalian kecederaan atlet adalah menerusi program pencegahan dengan menggunakan pendekatan berstruktur dan terancang, di mana latihan bersesuaian perlu dirancang pada masa tepat dan masa rehat yang cukup amat penting.

“Menerusi evolusi program latihan yang padat dan pengurusan latihan berkesan, atlet akan sentiasa menunjukkan minat kepada latihan dan mengurangkan kebarangkalian kecederaan kronik dan akibat overuse (latihan melampau),” katanya.-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");