Jenayah

Amukan telefon hilang

Alor Setar: Seorang lelaki mengamuk sehingga cuba memotong hos saluran gas memasak di sebuah restoran di Pekan Simpang Kuala, di sini, semalam.

Kejadian berlaku sekitar 12.45 tengah hari, ketika restoran berkenaan dipenuhi orang ramai yang ingin menjamu selera.

Sumber polis berkata, suspek berusia 37 tahun membawa sebilah pisau pemotong daging secara tiba-tiba meluru masuk ke dalam restoran berkenaan sebelum pergi ke bahagian tempat membancuh air dalam restoran berkenaan.

Katanya, dia kemudian pergi ke tempat membancuh air dan menjerit menyebabkan pelanggan yang sedang menjamu selera terkejut.

“Lelaki itu kemudian memeluk tong gas di bahagian tempat membancuh air itu dan cuba untuk memotong hos saluran gas berkenaan sambil menjerit menyebabkan pekerja dan pelanggan yang berada di situ terpaksa menyelamatkan diri dengan keluar dari restoran.

“Tindakan lelaki itu menyebabkan pemilik restoran berkenaan segera menghubungi polis dan anggota bomba bagi menyelamatkan keadaan.

“Anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Jalan Raja, Alor Setar yang tiba di tempat kejadian berjaya mengawal keadaan apabila terpaksa mengunakan satu aliran pancutan daripada jentera bomba untuk merebahkan lelaki itu sebelum berjaya ditahan dan diserahkan kepada anggota polis yang tiba di tempat kejadian,” katanya.

Kejadian yang berlaku itu juga turut tular di media sosial menerusi sebuah video berdurasi tujuh saat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, suspek tidaklah gila seperti yang tular dalam media sosial.

“Siasatan awal mendapati punca lelaki itu mengamuk disebabkan tidak berpuas hati telefon bimbitnya hilang di restoran berkenaan.

“Suspek juga didapati pernah mempunyai rekod jenayah membabitkan curi kenderaan namun ujian air kencing pada suspek didapati negatif dadah,” katanya.

Suspek direman sehingga 1 Mac untuk siasatan Seksyen 6 (1) Akta Senjata Berbahaya 1958.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");