Membawang Hari Ini

Ara optimis cabaran tahun baru

Pemenang ketiga program realiti Akademi Fantasia 2016 (AF2016), Ara Johari, 20,berkongsi harapannya agar kerjaya seninya tahun ini semakin baik dan membuka lebih banyak peluang menyerlahkan bakat dalam bidang nyanyian.

Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari menyimpan harapan agar tidak terpalit sebarang kontroversi yang menjejaskan kariernya.

Katanya, cukuplah dengan isu rambut pendek yang timbul ketika masih bergelar pelajar AF2016. Dia berharap tidak ada perkara besar membabitkan dirinya selepas ini.

“Tidak ada isu pun sebenarnya. Saya masuk AF 2016 dengan rambut paras bahu tetapi ketika sesi ‘grooming’, saya gunting rambut lebih pendek. Melihat saya berambut pendek dan perwatakan kasar, timbul cerita macam-macam.

“Tidak mengapa kerana itu pengalaman pertama saya berhadapan dengan perkara seperti itu. Sekurang-kurangnya saya tahu cara mengendalikan isu seperti itu,” katanya memetik sumber harian Metro.

Ara menegaskan, imej luaran tidak mencerminkan dirinya yang sebenar. Walaupun perwatakannya kasar, dia masih wanita sejati yang cenderung dan tertarik terhadap jejaka kacak.

Dia juga tidak berhasrat kekal dengan imej rambut pendek.

Katanya, dia akan membiarkan rambutnya panjang sedikit melepasi bahu sebagai memenuhi permintaan ayahnya.

“Selepas tamat AF2016, saya balik ke rumah dan duduk santai dengan keluarga. Ayah kemudian meminta saya berambut panjang.

“Saya rasa sedikit sebanyak isu itu mungkin membuatkan ibu bapa saya risau dengan persepsi masyarakat, sebab itulah ayah meminta saya berambut panjang sekurang-kurangnya aras bahu,” katanya.

Baru muncul dengan single Warkah Untukku, caranya menyanyikan lagu itu menarik perhatian. Lagu hasil nukilan Hang Nadim itu sememangnya sangat mencabar vokal Ara.

Penyanyi dari Negeri Sembilan itu akui Warkah Untukku lebih sesuai dinyanyikan oleh lelaki kerana mempunyai emosi serta ‘soul’ yang mendalam.

Katanya, ada juga yang mengatakan single itu pasti lebih sedap jika dinyanyikan sendiri oleh Hang Nadim.

“Saya terima semua komen dengan hati terbuka kerana masih dalam proses belajar. Apa saja maklum balas daripada umum harus diteliti dan dinilai dengan baik sebagai pemangkin kerjaya seni.

“Sebagai penyanyi, itu cabaran yang harus saya lalui. Tidak dinafikan lagu itu memang sukar tetapi saya sudah cuba sebaik mungkin. Saya gembira apabila semakin lama, Warkah Untukku diterima dengan baik,” katanya.

Ara berkata suaranya lebih sesuai dengan genre jazz dan balada. Bagaimanapun, dia tidak keberatan fokus pada lagu-lagu berentak balada.

“Saya ingin mencuba genre lain. Dari dulu saya minat dengan DJ Fuzz dan berharap mempunyai peluang bekerjasama dengan komposer itu.

“Kalau ada peluang menyanyikan genre lain saya tidak kesah dan akan terus mencuba,” katanya.

Ara juga tidak menyimpan harapan tinggi untuk mencipta nama dengan sekelip mata. Buat sementara waktu, dia sudah berpuas hati andai umum sedar dengan bakatnya. Juga, andai diberi peluang untuk mencuba cabang seni lain seperti lakonan dan pengacaraan, dia tidak akan menolak.

“Saya lihat bekas pelajar AF sebelum ini rezeki mereka lebih luas dalam bidang lain. Cepat atau lambat dikenali bukanlah kayu pengukur bakat seseorang.

“Saya tidak kesah belum cukup dikenali dan percaya dengan ketentuan Allah. Saya hanya mampu bekerja keras agar berjaya dalam bidang seni.

“Saya tetap bersyukur walaupun pada kemudian hari rezeki saya lebih banyak dalam bidang lain. Saya boleh cuba berlakon atau menjadi pengacara sebab kalau jadi model kosmetik atau pakaian, memang saya gagal,” katanya sambil ketawa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");