Membawang Hari Ini

Haiza singsing lengan

Walaupun telah bergelar insan popular, Haiza, 36, tidak segan bagi menyingsing lengan membasuh pinggan mangkuk di Kafe Larut Malam milik keluarganya di Benut, Johor.

Memetik laporan Harian Metro, Kafe yang terletak di bangunan baru MARA Benut itu baru dibuka 16 Februari lalu.

Sebelum itu Haiza dan ibu bapanya mengadakan majlis pelancaran yang turut mengundang penduduk sekitar daerah berkenaan.

Jelasnya ibu Haiza, Zainab Abar, 66, dan bapa, Nordin Daud, 80, pernah membuka restoran yang diberi nama Restoran Larut Malam di tapak sama. Namun apabila tapak itu mahu dibangunkan semula, tiga tahun ibunya tidak berniaga.

“Apabila tapak baru itu sudah siap, barulah emak membuka semula kedai makannya yang turut diberi wajah baru, lalu kami namakan Kafe Larut Malam dengan mengekalkan nama asalnya cuma ‘restoran’ ditukar menjadi kafe.

“Ketika kami mengadakan acara pembukaan itu sebenarnya bukan untuk kafe kami saja.

“Ia secara tidak langsung turut beritahu kepada masyarakat setempat pusat perniagaan itu sudah dibuka dan mereka yang datang pada malam itu juga boleh tahu sudah banyak kedai dibuka seperti kedai menjual kek dan kedai gunting rambut.

“Semoga dengan adanya acara pembukaan Kafe Larut Malam itu, turut memberi limpahan rezeki kepada kedai lain,” katanya.

Kafe itu dibuka dari jam 5.30 petang hingga 12.30 tengah malam. Antara menu istimewa ialah kentang goreng berlada yang menggunakan resipi istimewa ibunya sendiri dan lempeng kelapa tok uban.

“Lempeng kelapa itu adalah makanan kegemaran arwah datuk saya dan resipi lempeng itu juga diwarisinya. Pada setiap hujung minggu juga, emak akan menyediakan satu menu istimwa, misalnya mi rebus atau apa saja yang emak terlintas nak masak.

“Sejak emak buka restoran dulu lagi, memang kerja saya membasuh pinggan mangkuk. Apabila orang datang makan dan tengok saya membasuh di dapur, mereka hairan. Saya biasa saja, tiada yang membezakan diri saya dulu dan sekarang,” katanya.

Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin gembira kerana menurut ibunya, sejak kafe itu dibuka mereka tidak menang tangan melayan pelanggan.

“Alhamdulillah, biar penat melayan pelanggan daripada ‘penat’ menunggu orang datang. Harga di kafe itu tidak mahal sesuai dengan taraf hidup orang di sana. Selain emak dan ayah, adik saya (Amirul Hafiz) turut mengawal selia kafe itu terutama menjaga akaun.

“Kerja lain seperti membantu emak di dapur dan mengambil pesanan pelanggan, dilakukan sepupu dan anak buah saya. Kafe itu sepenuhnya milik keluarga. Agak susah untuk mengharapkan orang lain terutama urusan wang.

“Apabila saya bercerita menu yang ada di kafe itu, terutama kentang goreng berlada, ramai kawan teringin nak rasa tetapi kenalah pergi ke Benut. Untuk saya membuka kafe di Kuala Lumpur belum terfikir lagi kerana tiada orang yang akan menjaganya,” katanya.

Haiza juga bercadang pada hari tertentu mahu membawa grup busker buat persembahan di kafe itu.

“Oleh kerana hujung minggu di Johor jatuh pada hari Jumaat, mungkin persembahan itu nanti akan diadakan waktu malam,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");