Jenayah

Han-sol Akan Dilindungi – Nur Jazlan

KUALA LUMPUR:Pihak Polis akan melindungi Kim Han-sol, anak lelaki kepada Kim Jong-nam, sekiranya dia datang untuk mengenal pasti mayat bapanya di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata beliau tidak mengetahui sama ada Han-sol sudah berada di Malaysia tetapi memberi jaminan bahawa lelaki berusia 22 tahun itu akan dilindungi.

“Apa yang perlu dia lakukan adalah menghubungi Wisma Putra atau pihak berkuasa berkaitan jika dia mahu datang ke Malaysia.

“Kita akan melindunginya kerana kita tidak mahu insiden kematian lagi berlaku di sini,” kata Nur Jazlan.

Petugas media mula berkumpul di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada Isnin apabila timbul khabar angin bahawa Han-sol akan tiba dari Macau.

Bagaimanapun dakwaan itu tidak benar.

Sebuah Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) ditempatkan di rumah mayat itu semalaman kerana ia disifatkan sebagai kes berprofil tinggi.

Mengenai nasib empat suspek warga Korea Utara yang dipercayai melarikan diri pada hari Jong-nam dibunuh, Nur Jazlan berkata ia bergantung kepada pengenalpastian mangsa dan punca kematian.

“Jika kematian dalam keadaan yang mencurigakan, polis boleh memohon empat lelaki itu diekstradisi bagi membantu siasatan,” katanya memetik sumber Mstar Online.

Nur Jazlan berkata sebarang permohonan terhadap empat lelaki itu untuk diekstradisi memerlukan kerjasama Korea Utara.

“Soalnya adalah adakah Korea Utara akan melayan permintaan itu. Bagaimana jika mereka tidak dapat mencari empat lagi suspek, jadi apa kita boleh lakukan?,” katanya.

Polis telah memohon bantuan daripada Interpol untuk mengesan empat suspek itu malah gambar mereka turut disiarkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ahli keluarga Jong-nam masih belum tampil untuk menuntut mayat mangsa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");