Perak Hari Ini

‘Harta Tersembunyi’ Di Kampung Bongor

BUNGA gergasi Rafflesia adalah antara ribuan keunikan yang ditawarkan oleh hutan hujan tropika negara ini.

Selain sukar ditemui di tempat lain, keunikan bunga liar eksotik itu terletak kepada episod kehidupannya yang hanya hidup dan mekar selama tujuh hari, sebelum layu dan mati.

Kini bagi pencinta flora dan fauna, anda berpeluang melihatnya secara dekat di Hutan Simpan Gerik di Kampung Bongor menerusi Pakej Pelancongan Rafflesia Di Kampung Bongor.

Pendakian santai yang mengambil masa sekitar satu jam itu pastinya berbaloi apabila anda berpeluang melihat keindahan bunga Rafflesia yang kembang liar di sekitar kaki bukit hutan itu.

Mula Mendaki

Setibanya sampai di Kampung Bongor, para pendaki disambut mesra oleh Ahli Jawatankuasa Kampung (JKK) dan menerima taklimat keselamatan sebelum memulakan pendakian menjejaki bunga gergasi itu.

Taklimat disampaikan oleh Pengarah Pelancongan Rafflesia Kampung Bongor, Ishak Yahya dan Ketua Kampung Bongor, Mat Ralik Abdul Majid.

Sejurus selepas itu rombongan pendaki menaiki pacuan empat roda ke lokasi Hutan Simpan Gerik Kampung Bongor yang mengambil masa sekitar 20 minit.

Laluan Pendakian

Perjalanan mengambil masa sekitar satu jam bagi mendaki kaki hutan simpan itu merupakan satu pengalaman yang cukup menarik apabila anda perlu ‘berperang’ dengan pacat.

Menurut Ishak, bunga yang ditemui di Hutan ini adalah jenis Cantleyi dan tumbuh secara liar sekitar kaki bukit hutan itu.

Ujarnya pakej yang ditawarkan cukup berpatutan iaitu sebanyak RM50 bagi seorang dan turut menyediakan pengangkutan serta makanan.

Anda akan dibawa mendaki ke kaki bukit oleh jurupandu terlatih dan keselamatan para pendaki sentiasa diberi perhatian khusus.

Segala penat mendaki hilang apabila anda dapat menyaksikan bunga berkembang dengan indah dan berpeluang mengambil gambar kenangan.

Berkelah dengan Nasi ‘Berlemang’

Antara pengalaman yang cukup menarik apabila anda keletihan turun daripada kaki bukit hutan simpan itu dari jauh anda sudah terbau keenakan ikan bakar yang dibakar berhampiran tebing sebuah anak sungai.

Nasi buluh, antara keistimewaan menu utama yang akan disajikan kepada anda jika anda mengikuti pakej Pelancongan Rafflesia Kampung Bongor ini.

Penduduk Kampung, Mohd Nazri Abdul Rashid berkata, nasi tersebut dimasak dengan kaedah pembakaran seperti memasak lemang.

Katanya, beras itu akan dicuci bersih dan dibungkus kecil menggunakan daun lirit dan bemban seterusnya dimasukkan ke dalam buluh berisi air untuk dibakar selama hampir satu jam.

Nasi buluh ini turut dihidangkan bersama gulai lemak ikan Baung, ikan talapia bakar dan pelbagai ulaman kampung yang cukup enak malah berselera apabila anda menikmatinya secara berkelah di tepi sungai.

 

Makluman Kepada Pengunjung

Para pengunjung dan pendaki dinasihati supaya memaklumkan kehadiran mereka kepada pihak JKK Kampung Bongor dan tidak digalakkan untuk naik sendiri.

Menurut Ishak tindakan seperti itu dikhuatiri akan membahayakan keselamatan pendaki jika tidak diketahui oleh pihak lain terutamanya penduduk kampung.

Langkah pemantauan juga perlu supaya habitat bunga gergasi itu tidak terjejas oleh sikap rakus manusia.

INFO:-
Pakej Pelancongan Rafflesia Di Kampung Bongor
Harga Promosi: RM50 seorang (termasuk pengangkutan dan makanan)
Nombor untuk dihubungi: Ishak Yahya (019-4285573) dan Mat Ralik (013-4371260)

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");