Berita Hari Ini

Kerajaan Kaji Harga, Kelulusan PSV

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti cadangan menyusun semula sistem lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) merangkumi aspek penentuan harga dan kaedah kelulusannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, pelaksanaan langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk menambah jumlah pemandu bas ekspres di negara ini.

“Industri perkhidmatan bas ekspres berdepan pelbagai masalah, khususnya kekurangan pemandu sehingga memaksa mereka bekerja melebihi waktu dan ia menjadi antara punca kemalangan.

“Ketika ini kita mempunyai kira-kira 4,300 kapten atau pemandu bas, justeru kerajaan akan mengkaji usaha untuk menambah jumlah berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Antara faktor yang akan diteliti adalah penentuan harga dan kaedah kelulusan lesen PSV kerana ada rungutan mengatakan ia mahal serta susah,” katanya, lapor Berita Harian.

Nancy berkata kerajaan akan menumpukan usaha merekrut pemandu bas dalam kalangan belia kerana kerjaya itu ketika ini dipelopori golongan berusia antara 40 hingga 50 tahun.

Selain itu, katanya, pelbagai usaha akan dirangka dalam menggalakkan golongan wanita untuk menceburi kerjaya pemandu bas ekspres bagi menampung keperluan industri pengangkutan awam berkenaan.

“Mungkin wanita boleh menjadi pemandu bas ekspres untuk jarak yang dekat bagi fasa permulaan, sebelum memperluaskan pelaksanaannya mencakupi pemanduan jarak jauh.

“Kerajaan juga bersedia menstruktur semula sistem gaji pemandu bas di negara ini supaya ia tidak berpandukan trip atau jumlah perjalanan kerana ia sebelum ini dikatakan menjadi faktor kemalangan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");