shadow

KAPAL yang membawa misi kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar akan berlabuh di Pelabuhan Chittagong, Bangladesh selepas mendapat persetujuan melalui mesyuarat dan perbincangan antara ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dengan kapten dan pegawai Kapal F28 Tentera Laut Bangladesh, petang tadi.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut adalah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)  Mohd Azmi Abdul Hamid dan Kapten Kapal Nautical Aliya, Kapten Firdaus.

Wakil Perak Today memaklumkan, antara isi mesyuarat tersebut adalah membincangkan kembali lokasi paling tepat dan paling selamat untuk memunggah barangan bantuan misi ini.

“Mesyuarat itu juga telah memutuskan lokasi paling mudah untuk fasiliti pengangkutan bagi membawa barangan ke tiga Kem Pelarian Ronghinya seperti yang dicadangkan. Keputusan akhir adalah kedua-dua pihak bersetuju untuk Nautical Aliya berlabuh di Port Of Chittagong, Bangladesh.

“Atas faktor keselamatan Pelabuhan Chittagong menjadi pilihan adalah kerana perairan Cox Bazar tidak sesuai kerana arus dalam laut disini sangat laju dan tidak menentu,”kata Abdul Azeez dalam sidang medianya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa pelayaran Nautical Aliya ini bukannya pelayaran yang biasa, tetapi ianya pelayaran yang sangat luar biasa berikutan Flotilla ini merupakan kapal bantuan yang pertama datang membawa sukarelawan dan barang bantuan ke Kem Pelarian Rohingya di Bangladesh.

“Tiada isu kegagalan dalam misi ini ataupun apa apa isu negatif. Apapun kami yang berada di atas Nautical Aliya ini amat mengharapkan doa dan sokongan moral dari Rakyat Malaysia agar Misi Food Flotilla For Myanmar ini berjaya menepati matlamat tanpa ada halangan,”katanya.

Azeez juga mengucapkan jutaan terima kasih pada Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Razak yang menyokong penuh misi ini dan turun membantu dengan menghubungi teman sejawatannya dari Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed agar memudahkan perjalanan Misi ini.

“Tidak lupa juga jutaan terima kasih buat 30 juta Rakyat Malaysia yang tidak putus putus mendoakan kami dan sentiasa menyokong misi ini.

“Misi ini adalah pemangkin kepada NGO negara lain untuk turut membantu Kaum Rohingya di Arakan dan juga di kem-kem pelarian yang terdapat di Bangladesh,”katanya

Komen & Pendapat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *