Berita Hari Ini

NIOSH saran lebih banyak sekolah guna konsep OSH

TAWAU: Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan lebih banyak sekolah menggunapakai konsep pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) sekali gus meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan pelajar serta guru menerusi program ‘OSH in School.’

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) itu berkata , berkata walaupun program ‘OSH in School’ telah diperkenalkan dengan sokongan Kementerian Pendidikan, namun jumlah sekolah menyertainya masih terlalu kecil.

“Melalui program OSH di sekolah, isu keselamatan merangkumi bangunan, kantin, makmal dan padang membolehkan warga pendidik, kakitangan dan murid lebih prihatin mengenai soal keselamatan dan kesihatan, selain bersedia menangani ancaman yang mungkin berlaku.

“Sekolah perlu dianggap sebagai tempat kerja dan bukan semata-mata untuk belajar. Oleh itu, soal keselamatan dan kesihatan perlu diberikan lebih perhatian,” katanya selepas melancarkan program ‘OSH in School’ anjuran bersama NIOSH dan syarikat Hap Seng Consolidated Berhad di Sekolah Menengah St Patrick di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, usaha untuk menanam kesedaran di peringkat awal adalah persediaan yang baik bagi pelajar untuk menyertai tenaga kerja pada masa hadapan, di mana soal keselamatan dan kesihatan di tempat kerja amat dititikberat.

Katanya, walaupun kerajaan sebelum ini memperkenalkan inisiatif yang agak sama seperti Program Kesihatan Sekolah pada tahun 1967 dan Projek Sekolah Selamat pada tahun 2002, kesemuanya memberi fokus kepada peningkatan tahap kesihatan dan menyekat pengaruh negatif dari luar seperti penagihan dadah, gengsterism dan jenayah.

“Program OSH di Sekolah pula merangkumi satu lagi dimensi apabila NIOSH melihat ia sebagai tempat kerja yang turut tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

“Takrifan sekolah sebagai tempat kerja di bawah OSHA bertujuan menjadikan ia selamat dan sihat bagi orang yang bekerja dan mereka yang lain di premis berkenaan.

“Di sekolah, orang yang bekerja adalah guru, kakitangan pengurusan dan sokongan manakala mereka yang lain merujuk kepada pelajar, ibu bapa dan pelawat,” katanya, lapor Berita Harian.

Sementara itu, Pengurus Kanan Tanggungjawab Sosial Korporat Hap Seng Consolidated Berhad, Amidah Abidin, berkata sektor korporat perlu terbabit secara aktif dalam usaha mempromosikan pengurusan OSH yang baik di tempat kerja.

“Usaha mewujudkan suasana OSH yang baik di tempat kerja bukan semata-mata terletak pada agensi seperti NIOSH dan majikan, malah harus dipikul bersama setiap pihak bagi menjayakannya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");