Berita Hari Ini

Perangi penyebaran maklumat jatuhkan kerajaan

PEKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyebaran maklumat palsu menerusi media sosial dan pemimpin terdahulu bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara demokrasi perlu diperangi habis-habisan.

Beliau berkata ancaman baharu secara serangan minda dan hati menerusi penyebaran berita palsu serta fitnah adalah amat bahaya kerana ia dilakukan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik tersendiri.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu bersama-sama kerajaan untuk bangkit mempertahankan negara daripada serangan anasir berkenaan yang boleh menggugat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi ketika ini.

“Mempertahankan negara kita bukan hanya bererti negara diserang dari luar dengan kehadiran bala tentera, tetapi serangan yang lebih berbahaya lagi ialah serangan kepada minda kita dan hati kita.

“Apabila minda kita dan hati kita diserang dengan berita, dakyah dan maklumat palsu serta fitnah atau ‘fake news’ (berita palsu) yang keluar melalui media sosial atau pemimpin tertentu dengan tujuan jatuhkan sebuah kerajaan, maka inilah ancaman paling bahaya. Maka, kita akan perang habis-habisan,” tegas beliau.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan program Negaraku:Komuniti 1Malaysia di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Karuak dan Timbalannya Datuk Jailani Johari serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab.

Perdana menteri berkata berikutan penyebaran dakyah palsu, banyak langkah dan tindakan kerajaan untuk kebaikan rakyat telah disalahertikan sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita dah buat macam-macam…tetapi apabila ada berita palsu yang cuba selewengkan sesuatu perkara, benda baik pun jadi tidak baik dan kontroversi, umpamanya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya.

–Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");