Berita Hari Ini

Rakyat perlu sokong tindakan hubungan diplomatik

KOTA BHARU – Rakyat Malaysia perlu menyokong seratus peratus sebarang tindakan yang akan diambil oleh kerajaan terhadap hubungan diplomatik dengan Korea Utara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, ini berikutan tindakan Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol yang terus menerus mengutuk kerajaan Malaysia dan siasatan yang dijalankan oleh polis berhubung pembunuhan Kim Jong-nam.

“Kita rasa terhina apabila mendengar komen-komen daripada seorang duta sebuah negara yang mempertikaikan kewibawaan negara kita, mempertikaikan institusi kita seperti polis, doktor dan negara kita. Ini mencampuri urusan negara kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Kelantan di sini, hari ini.

Mustapa berkata, sebagai seorang duta asing, Kang Chol tidak wajar melemparkan pelbagai tuduhan kepada Malaysia dan perbuatan itu menghina rakyat negara ini.

“Kita ada institusi yang cukup berwibawa, mereka ini adalah golongan profesional,” katanya menambah setakat ini hubungan perdagangan antara Malaysia dan Korea Utara berlangsung seperti biasa.

Di PORT DICKSON, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, isu hubungan antara Malaysia dan Korea Utara harus diselesaikan secara diplomatik.

“Kenyataan yang dibuat Duta Besar Korea Utara memang biadab, mungkin terpaksa kerana takut tindak balas kepimpinan Korea Utara sebab itu ayat-ayat mereka gunakan cukup tidak diplomatik,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Siri 181-2/16 di sini, hari ini.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara menjadi tegang sejak bermulanya siasatan terhadap pembunuhan Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Kang Chol sebelum ini dilapor mendakwa Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu dan bersekongkol dengan ‘kuasa-kuasa seterunya’ dalam penyiasatan kes berkenaan.

Kerajaan Malaysia menolak dakwaan tidak berasas duta itu.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam, 46, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dia tiba-tiba dihampiri dua wanita yang menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang dipercayai disembur racun.

Mangsa kemudian mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2 sebelum digegaskan ke Hospital Putrajaya namun meninggal dunia dalam perjalanan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");