Jenayah

Remaja 13 Tahun Positif Dadah

Butterworth: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan pasukan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan Op Sarang di hotel bajet sekitar negeri ini, malam kelmarin, berikutan air kencingnya positif dadah.

Apa yang lebih menyedihkan, remaja yang masih bersekolah berkenaan ditahan jam 11 malam bersama seorang lelaki berusia 45 tahun di dalam bilik sebuah hotel bajet dan dia mengaku mula terjebak dengan najis dadah sejak berusia enam tahun.

Remaja berkenaan memberitahu, dia mengikut kakaknya berusia 21 tahun ke hotel bajet itu untuk bertemu lelaki berkenaan, namun ketika serbuan dilakukan, kakak kepada remaja berkenaan tidak kelihatan kerana dipercayai keluar ke tempat lain.

Hasil soal siasat mendapati remaja berasal dari Seberang Jaya itu tidak pergi ke sekolah selama seminggu kerana menghadapi masalah disiplin dan dipercayai berkaitan penagihan dadah.

Ketua Penguat Kuasa dan Keselamatan AADK Pulau Pinang, Nasru’d-din Abdul Rahman berkata, ketika serbuan, remaja berkenaan di bilik itu bersama lelaki berusia 45 tahun.

“Remaja itu mengaku dia ke hotel berkenaan bersama kakaknya dan lelaki itu adalah kenalan kakaknya. Hasil pemeriksaan, kami menemui heroin seberat 3.65 gram (g) yang dipercayai milik lelaki berkenaan menyebabkan kedua-duanya ditahan,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, AADK merampas syabu seberat 53.5g daripada sepasang kekasih berusia 27 dan 31 tahun di sebuah bilik hotel.

“Ketika serbuan, lelaki berusia 31 tahun berada di tangga bilik hotel berkenaan manakala pasangannya berada di dalam bilik.

“Selepas membuat pemeriksaan, kami menemui peket kristal dan mereka mendakwa garam, namun selepas ujian dijalankan, peket itu syabu,” katanya.

Menurutnya, keempat-empat yang ditahan positif dadah.

Katanya, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");