Sukan Hari Ini

Sathit akui Kelantan banyak kelemahan

PENOLONG Jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh mengakui barisan pemainnya beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar apabila tewas 0-2 kepada Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Memetik sumber Sinar Harian, Sathit mengakui tidak banyak mampu diperkatakan mengenai prestasi keseluruhan The Red Warriors ketika ini, selain aksi buruk dipamerkan pemain mereka seperti dibuktikan dalam tiga perlawanan di laman sendiri.

“Saya minta maaf, saya tidak tahu bagaimana hendak mengulas mengenai perlawanan malam ini (kelmarin) tetapi banyak kelemahan pasukan ini sehingga kita bermain teruk sekali.

“Saya percaya pemain tidak bermain dengan baik, malang buat kami apabila masih gagal menjaringkan gol di tempat sendiri. Kami cuba menyaingi Selangor namun hilang keyakinan setelah tewas dua kali sebelum ini,” katanya.

Sathit menghadiri sidang media bagi menggantikan Ketua Jurulatih, Zahasmi Ismail yang tidak muncul untuk berdepan soalan pemberita selepas begitu kecewa dengan kekalahan tersebut.

Pada perlawanan tersebut, The Red Giants menelanjangkan kelemahan skuad pantai timur itu apabila meraih kemenangan berharga 2-0 menerusi dua gol peribadi Juliano Miniero Fernandes, pada minit keempat dan 63.

Penolong jurulatih dari Thailand itu berkata, semangat sahaja tidak cukup dalam sukan bola sepak sekiranya pemain masih tetap lagi mengulangi kesilapan sama sehingga menyebabkan pasukan dihukum dengan kekalahan.

“Kami hormati Selangor, kerana kami juga hendak menang tetapi pasukan yang meminimumkan kesilapan akan keluar sebagai pemenang. Malam ini (kelmarin) pemain melakukan banyak kesilapan dan kami kena terima hakikat ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Sathit memberitahu, Kelantan perlu bangkit dan berbuat sesuatu pada perlawanan akan datang sekiranya tidak mahu terus terperosok di dasar liga.

“Tidak ada masalah dalam pasukan ini, kami kena sambung perjuangan, kami akan bangkit kerana sebelum ini, Kelantan bermula dengan baik menang dua kali di tempat lawan sebelum kalah tiga kali di sini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");