Berita Hari Ini

Tangguh Pelaksanaan PLKS – TPM

BAGAN DATUK : Pelaksanaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing untuk nelayan yang bakal dikuatkuasa 1 Mac ini ditangguhkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, penangguhan sistem berkenaan dilakukan selepas mempertimbangkan segala masalah yang dihadapi nelayan.

“Kita tahu nelayan menghadapi pelbagai masalah seperti hasil tangkapan bekurangan, tidak turun ke laut apabila hujan dan ribut serta masalah penguatkuasaan pihak berkuasa di perairan.

“Kerana itu, pada hari ini (semalam) saya ingin mengumumkan bahawa pelaksanaan sistem baharu ini ditangguhkan dan kita akan terus pakai sistem sedia ada (sistem lama),” katanya, lapor Sinar Harian

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Parlimen Bagan Datuk, di Dewan Serbaguna Hutan Melintang, petang semalam.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya telah bertemu dengan Menteri serta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Pengarah Lembaga Ikan Malaysia (LKIM) bagi membincangkan penangguhan berkenaan.

“Penangguhan ini dilakukan rentetan daripada memorandum yang dihantar oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) yang meminta permit pekerja asing baharu ditangguhkan dan sistem lama diguna pakai.

“Kerana keprihatinan kerajaan maka kita setuju untuk menangguhkan pelaksanaan sistem ini,” katanya.

Namun Ahmad Zahid meminta para nelayan untuk bersama membantu kerajaan dalam meringankan beban rakyat selepas pihaknya menangguhkan pelaksanaan sistem baharu tersebut.

“Pelbagai bantuan untuk nelayan disalurkan oleh kerajaan seperti subsidi minyak, elaun sara diri, insentif tangkapan ikan serta yang baharu penangguhan sistem pekerja asing ini, tetapi harga ikan tetap mahal.

“Oleh itu, saya berharap dengan semua bantuan yang dihulurkan kerajaan, nelayan-nelayan dapat bekerjasama untuk menurunkan harga ikan supaya rakyat tidak terbeban,” katanya.

Tambahnya, pihak kerajaan amat berterima kasih sekiranya nelayan bersama PNK melalui LKIM dan Jabatan Perikanan mampu menurunkan harga ikan seluruh negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan replika cek bantuan kerajaan persekutuan bernilai RM11.3 juta kepada wakil nelayan Bagan Datuk selain menyampaikan elaun sara diri sebanyak RM339,300 kepada 1,261 nelayan seluruh Hilir Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");