Sukan Hari Ini

Zahasmi Serah Nasib Kepada Kafa

SUSULAN tiga kekalahan berturut-turut pasukannya dalam saingan Liga Super musim ini, jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail menyerahkan nasibnya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)

Sebagai jurulatih, Zahasmi berkata, dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemerosotan prestasi The Red Warriors (TRW) dan tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak lain.

“Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab malah bersedia berdepan sebarang kemungkinan (disingkirkan). Terus-terang saya katakan, saya sudah melakukan yang terbaik untuk pasukan ini.

“Semua jurulatih mahukan keputusan terbaik tetapi ada ketika, kita tidak akan dapat apa yang kita mahu setiap masa. Saya masih ada kontrak (setahun) dan terpulang kepada pihak pengurusan untuk tentukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada peminat yang terus memberi sokongan dan memahami kesulitan dialaminya apabila terpaksa membentuk pasukan dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor memberitahu, pihaknya tidak akan merehatkan atau pun menyingkirkan pengendali berusia 50 tahun itu sekalipun prestasi skuad TRW terumbang-ambing dalam saingan liga pada ketika ini.

Malah tegasnya, Kafa masih memerlukan sentuhan jurulatih kelahiran negeri itu untuk memulihkan kembali prestasi skuad pantai timur itu biarpun ia mungkin mengambil sedikit masa.

“Tidak (singkir Zahasmi), setakat ini pihak pengurusan merasakan dia perlu diberi kekuatan dan keyakinan untuk meneruskan tugasnya. Kafa percaya dia mampu memperbaiki keadaan berdasarkan sumber yang ada dalam pasukan itu.

“Malah pucuk kepimpinan tinggi sehingga barisan Exco juga akan terus memberi sokongan dan kuasa penuh kepada Zahasmi untuk melakukan apa sahaja bagi menguatkan kembali pasukan,” katanya.

Mengulas desakan penyokong yang mahu Zahasmi berundur seperti digembar-gemburkan baru-baru ini, Ismail memberitahu, pihaknya merasakan dalam situasi sukar ketika ini belum tiba masanya untuk mereka menukar jurulatih baharu.

“Kita hormati pandangan peminat dalam perkara ini namun pengalaman lalu menjadi pengajaran penting buat Kafa agar tidak menukar jurulatih sesuka hati.

“Apa yang penting, dia perlu diberi sokongan moral dan saya minta semua pihak termasuk pengurusan pasukan, bekas-bekas pemain dan penyokong sendiri memberi semangat kepada jurulatih itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");