Perak Hari Ini

Jangan Tertipu Dengan Pakej Haji Sahabat Pejabat Menteri Besar Perak: Zambry

LUMUT: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini menafikan terdapat pakej mengerjakan ibadah haji yang disediakan oleh Pejabat Menteri Besar Perak.

Menurut Zambry, pakej yang diberi nama Pakej dari Sahabat Pejabat Menteri Besar Perak ini tidak berkaitan dengan dirinya malah beliau sendiri tidak pernah membenarkan mana-mana pihak mengeluarkan sebarang pakej menggunakan nama pejabatnya.

“Saya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan sebarang pakej menunaikan haji menggunakan nama pejabat Menteri Besar.

“Pejabat saya juga tidak pernah buat sebarang pakej haji. Kebiasaannya hanya Tabung Haji saja yang buat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Zambry juga memohon agar orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pakej yang ditawarkan.

“Harga pakej yang ditawarkan ini bernilai RM 39,500 dan menawarkan penginapan di hotel bertaraf lima bintang. Mahal tu.

“Jadi saya minta agar orang ramai berhati-hati dan tidak mudah terpedaya sekiranya ada menerima tawaran dari pakej ini, ujar beliau.

Menurut Zambry, perkara ini telah dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada saya oleh Dato’ Seri Abdul Puhat dan saya telah meminta beliau untuk menjalankan siasatan lanjut berkenaan pakej ini.

“Saya tidak mahu perkara sebegini akan memberi gambaran yang memesongkan berkaitan pejabat Menteri Besar,” katanya.

Hari ini, Zambry hadir ke Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Pangkor di Kejora Inn, Pangkor. Beliau juga sempat melawat Projek Sangkar Ikan Teluk Dalam, Pulau Pangkor dan mendengar taklimat pembangunan Pulau Pangkor dari pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");