Berita Hari Ini

Malaysia sumbang RM4.4 juta tangani Daesh

PUTRAJAYA 23 Mac – Malaysia mengumumkan sumbangan ban­tuan kemanusiaan seba­nyak RM4.4 juta untuk kawasan-kawasan terjejas di Iraq dan Syria bagi membantu usaha masyarakat antarabangsa membendung ancaman pengganas Daesh.

Memetik sumber Utusan Online, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan menyokong sepenuhnya seruan Pakatan Global Menangani Daesh agar pembiayaan segera dilakukan untuk kawasan-kawasan yang terjejas itu.

“Malaysia ingin mengesahkan sokongan dan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap Pakatan Global Menangani Daesh dalam usaha menjatuhkan dan akhirnya mengalahkan Daesh,” katanya berucap dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar Pakatan Global Menangani Daesh di Washington, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Teks ucapannya diedarkan kepada media di negara ini hari ini.

Dalam pada itu, Anifah semalam turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson di Washington.

Pertemuan itu membincangkan tentang isu-isu berkepenti­ngan bersama Malaysia-AS selain kedua-dua pihak bertukar pendapat berhubung perkembangan semasa di Laut China Selatan dan rantau ASEAN serta situasi di semenanjung Korea.

Mengulas lanjut Anifah memberitahu, deradikalisasi kekal sebagai satu komponen penting dalam strategi Malaysia melawan keganasan.

Jelasnya, kerajaan berpegang kepada kepercayaan bahawa mereka yang disabitkan di bawah undang-undang berkaitan keganasan telah diperdaya dengan versi Islam yang tidak betul.

Sehubungan itu kata beliau, proses deradikalisasi serta pemulihan adalah penting bagi membolehkan golongan tersebut dapat berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

“Kita telah dapat melakukan proses deradikalisasi dan pemulihan secara efektif terhadap mereka. Kadar kejayaan kita adalah 97.5 peratus. Dalam soal ini Malaysia bersedia untuk berkongsi kepakaran dengan negara lain,” ujarnya.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan di luar bangunan Parlimen Britain di Westminster, London semalam.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Luar, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa negara itu dan menyediakan maklumat terkini berkaitan insiden kepada rakyat Malaysia di bandar tersebut.

“Kementerian mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa insiden terbabit,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Serangan yang mengakibatkan lima maut dan 40 cedera itu berlaku apabila seorang penyerang bertindak merempuh orang ramai menggunakan kereta di Jambatan Westminster.

Rempuhan berkenaan terhenti selepas kereta tersebut melanggar pagar berhampiran bangunan Parlimen Britain dan penyerang terbabit seterusnya telah berusaha memasuki premis tersebut, menikam seorang pegawai polis serta cuba menyerang seorang lagi sebelum ditembak.

Orang ramai yang mempunyai sebarang urusan kecemasan atau ingin maklumat lebih lanjut boleh hubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di talian +44 (0) 2072358033 atau bilik operasi kementerian 03-88874570 dan 03-88892746.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");