Sukan Hari Ini

Menantikan Revolusi Baharu Tunku Ismail

PEMILIHAN Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres ke-53 badan induk itu kelmarin, menandakan permulaan revolusi baharu landskap bola sepak negara.

Menurut Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, TMJ sudah membuktikan kemampuannya apabila berjaya memimpin kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul sebagai kelab pertama negara menjulang Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Malah katanya, rekod cemerlang TMJ mentransformasikan JDT sebagai sebuah kelab yang disegani dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M), menguatkan lagi tanggapan umum bahawa Tunku Ismail adalah individu paling tepat menerajui FAM.

Tambah beliau, disebabkan penangan TMJ bersama JDT, kini peminat bola sepak tanah air menantikan magis yang mampu dibawa presiden termuda FAM itu ke dalam pasukan kebangsaan.

“Ramai yang ingin melihat kejayaan TMJ selepas apa yang dilakukannya bersama JDT. Ini kerana Tunku Ismail lah yang bertanggungjawab menjenamakan semula JDT sehingga disegani di rantau ini.

“Tetapi mampukah Tunku Ismail menjenamakan semula pasukan negara di pentas antarabangsa selepas dipilih sebagai presiden FAM yang baharu?

“Apa pun, seperti kita sedia maklum TMJ amat lantang bersuara dalam memberi teguran bagi meningkatkan mutu bola sepak. Jadi, sama-sama kita nantikan perubahan yang dibawa beliau nanti,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Jelas Raja Ahmad lagi Tunku Ismail diharap dapat melaksanakan 11 manifesto yang dirangkanya sebaik sahaja menduduki kerusi presiden.

“Ya sudah tentu semua orang mahu melihat apa perubahan yang mahu dibawa TMJ dan adakah beliau akan membuat house cleaning selepas masuk ke Wisma FAM di Kelana Jaya nanti?

Antara manifesto yang dibentangkan oleh Tunku Ismail adalah memastikan FAM tidak digunakan untuk kepentingan politik, mengubah budaya bola sepak Malaysia dengan merombak FAM sepenuhnya serta pembaharuan urus tadbir dan pentadbiran untuk mengubah struktur organisasi persatuan terbabit.

Malah, Tunku Ismail bercadang meminda perlembagaan membabitkan pemilihan jawatan presiden dan akan berusaha meningkatkan nilai komersial Liga Super dan Liga Perdana selain membangunkan program pembangunan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");