Isu Panas

PAS Pasir Gudang sokong putus hubungan dengan DAP

PASIR GUDANG: Sekumpulan ahli PAS Pasir Gudang berkumpul di sini, hari ini bagi menyatakan sokongan kepada keputusan pucuk pimpinan parti yang memutuskan hubungan dengan DAP.

Wakil kumpulan itu yang juga Ahli PAS Pasir Gudang, Hairul Isa, berkata pihaknya berterima kasih kepada Ketua Pemuda PAS setiap negeri yang bersetuju supaya kepimpinan dan Majlis Syura PAS pusat memutuskan ikatan bersama parti lain yang ada hubungan dengan DAP.

“Pemimpin PKR yang satu pentas dengan DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerap menghentam PAS, malah ada yang tanpa berselindung menghina Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Maka, amatlah sesuai Presiden PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan PAN secara keseluruhan, malah dengan parti yang bertuankan DAP,” katanya.

Terdahulu, Hairul bersama hampir 20 ahli PAS Kawasan Pasir Gudang berkumpul secara aman di hadapan Masjid Jamek al-Muhajirin di Masai dekat sini, selepas solat Jumaat.

Hairul berkata, mereka selaku pemuda sebelum ini membantu DAP dan PKR, malah di dewan pengiraan undi kumpulan mereka juga membantu calon di situ pada pilihan raya umum lalu.

“Dengan keputusan Presiden PAS, kami amat bersetuju dengan ketegasan beliau,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hairul berkata kumpulan itu turut memberi amaran kepada ahli politik dalam dan luar Johor supaya tidak biadab terhadap Sultan Johor.

“Hari ini jelas parti Tun Dr Mahathir Mohamad (PPBM) tidak diterima Bangsa Johor, bila mana Tun Mahathir cuba memperbodohkan fikiran rakyat di negeri ini.

“Kami amat sedih, ada kalangan mereka adalah Melayu Islam, malah ada yang dari Johor, namun sanggup menjadi macai serta khadam kepada DAP,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");