Berita Hari Ini

PM sedih tugas polis diperlekeh

KUALA LUMPUR 25 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rasa sedihnya berikutan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memperkecil dan memburukkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelbagai tohmahan tidak berasas.

Perdana Menteri menegaskan, perbuatan itu amat terkutuk dan kerajaan akan sentiasa berdiri teguh di belakang PDRM sebagai sebuah institusi yang disegani serta dihormati.

“Saya sedih apabila ada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab cuba memperkecilkan peranan dan sumbangan serta memburukkan imej PDRM de­ngan pelbagai tohmahan dan cerita palsu yang tidak munasabah.

“Pastinya perbuatan sebegini sungguh tidak wajar dan kurang bermaruah apatah lagi jika ia se­ngaja dilakukan atas tujuan-tujuan tertentu termasuklah didorong oleh fahaman politik sempit,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Polis Ke-210 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Moha­med dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Tema sambutan Hari Polis Ke-210 tahun ini adalah ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM3 juta untuk Tabung Amanah Warisan Polis yang dilancarkan hari ini.

Dalam ucapannya itu, Najib turut menyentuh tentang pengorbanan anggota polis sejak dahulu hingga kini yang rela berkorban nyawa dalam mempertahankan keamanan dan menjaga ketente­raman rakyat serta negara.

Beliau berkata, peristiwa serangan segerombolan 185 pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 1950, yang mengorbankan 25 anggota polis, isteri dan anak mereka serta penduduk kampung berkenaan diikuti insiden berdarah di Lahad Datu pada 2013 merupakan antara bukti pengorbanan pihak polis dan anggota keselamatan.

“Mana mungkin kita lupa akan tragedi tersebut (insiden Lahad Datu), yang menyaksikan bagaimana isteri telah kehilangan suami manakala anak pula hilang bapa tempat bermanja kerana terkorban dalam pertempuran menentang penceroboh negara,” katanya memetik sumber Utusan Online.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memuji kecekapan PDRM yang bertindak pantas merungkai kes pembunuhan abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam, selain berjaya mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi dalam pengendalian siasatan tersebut.

Malah, katanya, kerajaan sedar bahawa tugas dan tanggungjawab menjadi anggota polis hari ini bukan mudah, terutama dalam membanteras jenayah serta menjaga keamanan yang kini cabaran jauh lebih berat, kompleks dan rumit.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");