Sukan Hari Ini

Velodrom KL Trek Permulaan Jaguh Berbasikal Negara

KUALA LUMPUR: Velodrom Kuala Lumpur di Cheras bakal menamatkan perkhidmatannya selepas hampir 30 tahun menjadi pentas yang melahirkan ramai pelumba basikal berbakat negara.

Ia pernah menjadi saksi kepada kelahiran jaguh berbasikal trek negara seperti Rosman Alwi, M.Kumaresan, Rizal Tisin, Mohd Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa dan lain-lain.

Di situlah juga beberapa kejohanan besar diadakan antaranya temasya Sukan Komanwel 1998, Sukan SEA 1989 dan 2001, Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) dan Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara.

Velodrom yang terletak di kawasan seluas 4.8 hektar, akan dirobohkan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada projek pembangunan berikutan harga tanah yang melambung tinggi di situ.

Ia mempunyai trek sepanjang 333.3 meter, dibina pada 1988 dan boleh menampung 2,132 penonton.

“Velodrom ini banyak kenangan kepada saya. Saya mula mengenali velodrom ini ketika berumur 15 tahun, sewaktu mewakili Selangor dalam kejohanan MSSM (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia).

“Apabila saya menjuarai Kejohanan Remaja ACC pada 2002, saya mula diserap kedalam program MSN (Majlis Sukan Negara). Di sini saya berlatih sepenuh masa di bawah bimbingan Ng Joo Ngan,” kata bekas pelumba trek negara, Rizal Tisin kepada Bernama.

Menurutnya walaupun lebih kerap berlatih di Melbourne, Australia selepas memenangi acara keirin ACC pada 2006, Velodrom Kuala Lumpur tetap digunakan setiap kali pulang ke negara ini.

Pemenang pingat emas acara 1km Sukan Komanwel New Delhi 2010 itu kini masih aktif dan berubah angin sebagai jurulatih untuk skuad berbasikal pelapis Selangor.

Bekas Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad mengakui velodrom itu mempunyai nilai sentimental kepada atlet berbasikal yang memulakan karier mereka di trek yang dibina Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita berterima kepada DBKL yang telah membina velodrom ini. Selepas Velodrom Rakyat di Ipoh, velodrom ini adalah trek yang melahirkan jaguh pelumba berbasikal negara yang cemerlang di peringkat Asia Tenggara, benua Asia dan Sukan Olimpik.

“Boleh dikatakan Azizulhasni membesar di velodrom ini, jasanya kepada pembangunan atlet berbasikal amat besar sekali. Velodrom Nasional di Nilai sememangnya mengujakan tetapi memori di sini sukar dilupakan,” katanya.

Naim ditemui di Velodrom Kuala Lumpur ketika beliau meluangkan masa menyaksikan Kejohanan Trek Pelapis Negeri 2017 Siri I yang juga merupakan kejohanan terakhir diadakan di velodrom itu, Rabu.

Menurutnya velodrom tersebut akan diruntuhkan tidak lama lagi dan kawasan itu akan diba­ngunkan dengan projek komersial, tetapi pemaju dan DBKL masih membenarkan atlet menjalani latihan sehingga Jun ini bagi persiapan Sukan SEA.

Dalam pada itu, Naim berkata semua pihak perlu memikirkan semula sama ada menggunakan Velodrom Nasional sepenuhnya untuk latihan skuad kebangsaan dan pelapis serta menganjurkan kejohanan peringkat negeri atau antarabangsa.

Jelasnya, kos penyelanggaran bagi velodrom yang bernilai hampir RM80 jutaitu memerlukan perbelanjaan yang tinggi sekiranya berlaku kerosakan kepada fasiliti di velodrom tersebut.

“Kita akan menghadapi dilema sekiranya Velodrom Nasional digunakan untuk latihan skuad elit dan pelapis. Kita bimbang kos penyelenggaran meningkat, mungkin alternatif lain seperti Velodrom Rakyat di Ipoh digunakan untuk program pembangunan,” katanya. -Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");