Panasnya Hari Ini

“Wajah Mereka Bengis, Garang Dan Menyeramkan”

Salah seorang mangsa penculikan Abu Sayyaf, Jumadil Rahim menceritakan pengalaman beliau ketika insiden ngeri itu berlaku.

Menurut beliau, ketika kejadian berlaku sekitar jam 8.45 pagi kesemua mereka sedang tidur di kabin kapal dan bingung dengan apa yang berlaku.

“Ketika diculik kami semua sedang tidur di bawah kabin kapal dan bila kami bangun dalam keadaan terkejut dan bingung dengan apa yang berlaku tentera Abu Sayyaf datang dan paksa kami naik bot.

“Mereka bawa kami ke satu pulau dan sekitar selepas maghrib, kami dihantar ke satu tempat lain dengan menaiki bot juga.

“Pada mulanya kesemua mereka memakai topeng, namun selepas mereka membuka topeng, kami dapat melihat muka mereka yang garang, bengis dan menyeramkan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Ridzuan Ismail pula menganggap bahawa dirinya seperti sedang bermimpi sebaik sahaja selamat sampai ke tanah air Malaysia.

Ridzuan ketika ditemui menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutama sekali kerajaan Filipina dan Malaysia yang bertungkus lumus menyelamatkan kelima-lima mereka.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sedaya upaya menyelamatkan kami.

“Buat masa sekarang, saya masih lagi sakit dan trauma dengan apa yang berlaku, apa-apa pun saya harap kami adalah orang yang terakhir yang menjadi mangsa culik ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Fandy Bakran memberitahu bahawa kesemua berhasrat untuk menjadi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memerangi insiden sedemikian rupa.

Katanya, sepanjang menjadi tebusan Abu Sayyaf, kesemua mereka mengalami keperitan dalam meneruskan hidup malah hanya diberi makan nasi bersama garam.

“Kalau boleh kami berlima adalah orang pertama dan terakhir jadi mangsa culik Abu Sayyaf, sebab itu kami berhasrat untuk menjadi anggota APMM. Kami ingin menjaga keselamatan Negara.

“Sekarang ini kami masih trauma lagi. Kehidupan ketika diculik tu begitu perit, mereka suruh kami masakkan untuk mereka dan kadangkala puak Abu Sayyaf memukul kami.

“Kami dikurung berlima dan hanya diberi makan nasi sama garam. Memang perit tapi kita fikir anggap saja sedang makan KFC.

“Kami makan pun tak tentu, kadangkala kimi masak, bagi mereka makan dulu kalau ada lebih baru kami makan. Kalau tak ada makanan lebih, maknanya kena sabar,” jelas beliau.

Terdahulu, kesemua mereka berjaya diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di kawasan umum Punay (Publicion) Panglima Estino, Filipina selepas 8 bulan menjadi tahanan Abu Sayyaf.

Mereka ditemui dalam Majlis Pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");