Berita Hari Ini

Intitusi Raja, Agong Pancaran Jatidiri Negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata institusi Raja atau dalam konteks Kerajaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, adalah pancaran kepada ‘Pemeribadian atau Jatidiri Negara’, yakni ”Personification of the Nation”.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong sebagai cerminan dan jelmaan, yakni manifestasi kepada ‘Adicita’ atau ideologi Rukun Negara, yang menjadi asas kepada sebuah negara bangsa, makmur dan merdeka.

“Sesungguhnya, institusi Yang di-Pertuan Agong ini adalah unik kepada Malaysia, kerana ia bukanlah amalan di negara-negara beraja lain di dunia. Ia tidak melalui sistem undian oleh rakyat dan bukan juga diwarisi secara keturunan.

“Institusi ini tidak lain dan tidak bukan, menjadi kesinambungan kepada tradisi pemerintahan Raja-Raja Melayu sejak zaman berzaman,” katanya ketika menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara, hari ini.

Kata Najib, Sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia juga amat tertib menurut lunas-lunas yang ditetapkan, di atas roh juga semangat bahawa Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.

Dalam sembah ucapannya, Perdana Menteri turut menyembah maklumkan keadaan semasa negara terutamanya mengenai Dasar Transformasi Nasional yang menjadi pemangkin untuk memacu Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Menerusi Program Transformasi Nasional, Najib berkata, laporan tahunannya bagi kali keenam sebelum penghujung bulan ini, berjaya mencapai pelbagai kejayaan dan mendapat pengiktirafan daripada Badan-Badan Pemiawai serta Pengabsah di peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah, meskipun negara tidak lari daripada berdepan dengan kesuraman ekonomi global, akan tetapi, menurut Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi Malaysia, mudah-mudahan akan berkembang pada kadar 4.3 peratus bagi tahun 2017.

“Malah, pada minggu lalu pula, patik selaku Perdana Menteri, bagi pihak Kerajaan Tuanku, telah melancarkan satu lembaran baharu kepada Dasar Bumiputera, setelah 45 tahun Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh Allahyarham Ayahanda patik, Tun Abdul Razak, pada tahun 1971,” katanya.

Najib berkata, Dasar dan Halatuju Bumiputera dalam fasa yang selanjutnya adalah Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang bersifat inklusif kerana ia bukan saja mencakupi pencapaian Bumiputera dari sudut ekonomi, bahkan merentasi semua aspek kehidupan.

Mengenai keselamatan negara, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meningkatkan tahap keselamatan, terutama di perairan dan setiap penjuru pintu masuk ke negara ini.

Najib mewakili pihak Kerajaan, anggota keselamatan, penjawat awam dan rakyat Malaysia, mempersembahkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Sultan Muhammad V, bersempena pertabalan baginda.

“Patik bagi pihak kerajaan bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), berserta anggota pentadbiran dan rakyat sekalian, akan sentiasa mendoakan Tuanku terus dikurniakan taufik dan hidayah serta keafiatan untuk bertakhta di singgahsana sebagai lambang kebesaran dan kebanggaan negara,” kata Najib.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V secara rasminya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam satu istiadat mengikut tradisi Kesultanan Melayu hari ini.

Sultan Muhammad V, 47, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) pada Oktober lepas yang turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 13 Disember tahun lalu, Seri Paduka telah menyempurnakan Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara.

Sultan Muhammad V menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, pada 12 Disember tahun lalu. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");